Page 75 - MODUL GEOGRAFI SEMESTER 1
P. 75
sekitarnya. Contoh agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Penerangan
Daerah, Pejabat Pelajaran Daerah/Gabungan, Pusat-Pusat Kesihatan. Jabatan Pertanian,
FAMA, dan Lembaga Pertubuhan Peladang.
Pembandaran dapat melahirkan golongan kelas menengah iaitu kumpulan penduduk yang
mempunyai pendapatan yang agak tinggi dan stabil, moden, terbuka dan berpendidikan tinggi
dengan amalan budaya/cara hidup yang berbeza dengan kumpulan penduduk miskin/luar
bandar. Golongan menengah menjadi pencipta dan pencetus inovasi baru kerana terlibat
dengan bidang Penyelidikan dan pembangunan (R&D). Oleh sebab itu, pemodenan dan
teknologi baru di bandar dapat dibawa dan dikembangluaskan oleh mereka ke kawasan pinggi
bandar. Golongan ini juga telah melahirkan pekerja profesional, pemimpin dan korporat serta
kumpulan pekerja yang lebih mudah menerima perubahan.
Selain itu bandar juga berperanan meluaskan inovasi melalui penyediaan pelbagai
kemudahan asas bagi mempercepatkan proses pemodenan serta pembangunan. Wujudnya
peluang pembelajaran, peluang berinteraksi yang luas, dalam pelbagai institusi sosial dan
ekonomi di bandar dapat melicinkan lagi proses perubahan tersebut. Dengan meningkatkan
tahap pembandaran, proses penularan pembangunan dapat berlaku dengan lebih cepat.
Pembandaran boleh berlaku melalui pembesaran saiz bandar, perpindahan penduduk,
penjalinan bandar dengan sistem pengangkutan yang cekap, peluasan rangkaian komunikasi
dan sebagainya
Pemodenan melalui pendidikan menggalakan perubahan sosial dan mental. Bandar adalah
arena dan tempat bermulanya proses perubahan. Peluang-peluang memajukan ekonomi yang
lebih luas boleh mendorong penduduk bandar membangun dengan pesat. Melalui pembandaran
juga muncul pemimpin politik dan pemimpin masyarakat yang berfikiran luas dan berupaya
mencabar kepimpinan negara supaya melakukan perubahan ke arah pembaikan. Mereka juga
cenderung untuk bertindak melakukan perubahan dalam masyarakat. Para pentadbir,
pengusaha, peniaga dan pemimpin masyarakat ini mempunyai berbagai-bagai idea yang boleh
membantu pembangunan negara. Pembauran inovasi oleh kerajaan membolehkan minda
penduduk kampung berkembang dan bersedia untuk menerima arus pemodenan yang dibawa
oleh kerajaan.
75

