Page 154 - MPU3113 - Hubungan Etnik
P. 154
TOPIK 5 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DARI ASPEK HUBUNGAN ETNIK 137
5.3 UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN
PERSEKUTUAN
Unsur tradisi dalam perlembagaan amat penting untuk difahami bagi
mewujudkan identiti Malaysia dan memupuk persefahaman pelbagai kaum ke
arah perpaduan. Unsur ini juga merupakan kontrak sosial yang telah disepakati
semasa penggubalan perlembagaan. Istilah kontrak sosial dalam konteks
Perlembagaan Persekutuan merujuk pada permuafakatan sebelum merdeka
antara para pemimpin Parti Perikatan iaitu UMNO, MCA dan MIC yang
mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu iaitu orang Melayu, Cina dan
India dalam rundingan kemerdekaan dan proses untuk menggubal perlembagaan.
Unsur tradisi yang dimaksudkan meliputi bahasa, agama, pemerintahan beraja
dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.
Unsur ini juga dilindungi di bawah Akta Hasutan dan dianggap sebagai isu
sensitif yang dilarang untuk dijadikan bahan perbincangan awam.
Berikut ialah ciri-ciri penting dalam pakatan murni menerusi tolak ansur antara
kaum, iaitu:
(a) Mengekalkan empat unsur tradisi dalam perlembagaan, iaitu bahasa
Melayu, agama Islam, institusi beraja dan kedudukan istimewa orang
Melayu; dan
(b) Mengiktiraf hak kaum bukan Melayu untuk menjadi warganegara yang
berasaskan prinsip jus soli.
Rajah 5.1 menunjukkan unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia.
Rajah 5.1: Unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia
Copyright
Copyright © Open University Malaysia (OUM)© Open University Malaysia (OUM)

