Page 173 - MPU3113 - Hubungan Etnik
P. 173

156        TOPIK 6    PERMUAFAKATAN POLITIK DAN HUBUNGAN ETNIK




            PUTERA ditubuhkan pada 22 Februari 1947 dan dianggotai oleh golongan kiri
            Melayu iaitu Parti Nasionalis Melayu  (MNP), Angkatan Pemuda Insaf (API),
            Kesatuan  Tani,  Angkatan Wanita  Sedar (AWAS) dan  80 buah persatuan lain.
            PUTERA mempunyai empat prinsip iaitu:
            (a)   Bahasa Melayu harus menjadi bahasa rasmi;

            (b)  Hal ehwal  negeri dan  pertahanan  negara harus menjadi tanggungjawab
                  bersama antara kerajaan Tanah Melayu dan kerajaan British;

            (c)   Istilah „Melayu‰ harus menjadi gelaran sebarang kewarganegaraan  atau
                  taraf nasional di Tanah Melayu; dan
            (d)  Bendera kebangsaan harus menerapkan warna kebangsaan iaitu warna
                  merah dan putih.

            Selepas penubuhannya, PUTERA telah mengadakan perikatan dengan AMCJA
            yang mempunyai 600,000  orang  ahli mewakili semua badan  politik Tanah
            Melayu di luar UMNO dan Parti Komunis Malaya (PKM). Kerjasama ini telah
            membuahkan perlembagaan untuk penduduk di Tanah Melayu. Perlembagaan
            ini dipanggil Perlembagaan  Rakyat pada tahun 1947.  Antara inti pati
            Perlembagaan Rakyat ini adalah:
            (a)   Semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu hendaklah diberikan taraf
                  kewarganegaraan Melayu secara automatik;

            (b)  Bagi mereka yang tidak dilahirkan di Tanah Melayu, mereka boleh
                  diberikan taraf kewarganegaraan dengan syarat mereka berumur 40 tahun,
                  mempunyai sifat yang baik, telah menetap di Malaya antara lapan hingga
                  10 tahun di Tanah Melayu, mesti lulus  ujian mudah dalam peperiksaan
                  Bahasa Melayu dan bersumpah untuk taat setia kepada Tanah Melayu;

            (c)   Setiap warganegara mempunyai hak dan peluang yang sama dalam politik,
                  ekonomi, pendidikan dan kebudayaan tanpa mengira bangsa, kepercayaan,
                  warna kulit dan jantina;
            (d)  Bahasa Melayu hendaklah menjadi satu-satunya bahasa rasmi negara ini.
                  Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa lain dibenarkan;
            (e)   Bagi tempoh sembilan tahun pertama,  tidak kurang dari 55% wakil di
                  dewan perundangan mestilah orang Melayu;

            (f)   Singapura  hendaklah  dimasukkan bersama dengan Persekutuan Tanah
                  Melayu; dan

            (g)  Kedudukan raja-raja Melayu dikekalkan tetapi mereka bertindak sebagai
                  Raja Berperlembagaan.

                                               Copyright © Open University Malaysia (OUM)© Open University Malaysia (OUM)
                                               Copyright
   168   169   170   171   172   173   174   175   176   177   178