Page 9 - Buku dasar sekolah
P. 9
DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
PENDAHULUAN
Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan (Edisi Ketiga) ini merupakan pengemaskinian
dan penambahbaikan kepada buku Dasar Pendidikan Kebangsaan (Edisi Kedua)
yang telah diterbitkan pada tahun 2004 (edisi pertama diterbitkan pada tahun 1999).
Pengemaskinian dan penambahbaikan terhadap buku tersebut amat wajar dilakukan
kerana terdapat dasar baru yang telah digubal kesan daripada Pelan Transformasi
Negara dan Transformasi Pendidikan untuk mencapai hasrat Wawasan 2020.
Di samping itu, pernyataan dasar sedia ada perlu ditulis semula dari segi pengenalan
dan strategi pelaksanaan untuk disesuaikan dengan perkembangan dunia pendidikan
masa kini tanpa menjejas hasrat dasar tersebut.
Buku ini mengandungi pernyataan dasar dan strategi pelaksanaan bagi dasar utama
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Pernyataan dan strategi dasar sedia ada
telah dimantapkan semula dan penggubalan dasar baru adalah untuk memastikan
pencapaian hasrat transformasi pendidikan negara yang telah digarap berdasarkan
Laporan Razak (1956) dan Penyata Mahathir (1979) di samping menterjemahkan hasrat
pendidikan negara yang dinyatakan melalui Wawasan 2020, Rancangan Malaysia Lima
Tahun dan Pelan Transformasi Negara.
Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan ini amat relevan dijadikan sebagai rujukan utama
setiap jentera KPM sama ada di peringkat penggubal atau pelaksana dasar. Hal ini kerana
dasar utama KPM yang dimuatkan merupakan dasar yang digubal untuk merealisasikan
kejayaan pelaksanaannya yang antaranya meliputi Sistem Pendidikan Kebangsaan,
Pentaksiran (penilaian dan peperiksaan), Latihan Guru dan Pemimpin Pendidikan,
Penaziran, Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Aset dan Infrastruktur serta
penglibatan pihak swasta dalam pendidikan.
Semua pihak telah menunjukkan kesepaduan dalam memberikan komitmen yang
tinggi semasa menggubal dasar pendidikan ini. Penggubalan dasar ini juga telah
mengambil kira cabaran dan perubahan perkembangan dunia pendidikan di luar negara
dan keperluan pendidikan masyarakat Malaysia. Cabaran globalisasi, liberalisasi dan
perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dunia masa kini menuntut KPM untuk
memastikan semua murid di seluruh ceruk rantau Malaysia perlu mendapat pendidikan
yang sewajarnya seperti yang dihasratkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Justeru, KPM amat komited bagi memastikan pelaksanaan strategi dasar pendidikan
negara adalah untuk meralisasikan misi, visi dan matlamat pendidikan negara.
Kejayaan pelaksanaan dasar yang telah digubal dalam buku ini memerlukan komitmen
semua peringkat KPM, iaitu Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran
Daerah dan Pengetua/Guru Besar di sekolah untuk menterjemahkannya dalam bentuk
tindakan. Oleh yang demikian, semua pihak dalam susur galur KPM harus mengambil
inisiatif untuk meneliti, mengkaji, memahami dan melaksanakan setiap strategi dasar
yang digubal dengan menggerakkan jentera bertindak di setiap peringkat organisasi
masing-masing.
iv

