Page 125 - e Prosiding Serai 2021
P. 125
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
TAHAP PENGAPLIKASIAN GOOGLE CLASSROOM DALAM PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
Amir Hamzah bin Aman
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
amirhamzah@ipgkbm.edu.my
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap pengaplikasian Google Classroom (GC) dalam
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu. Kajian ini mengkaji dua aspek penting
iaitu tahap pengetahuan guru tentang kepentingan Google Classroom dan tahap
pengaplikasian Google Classroom dalam PdP Bahasa Melayu. Reka bentuk kajian ini
menggunakan pendekatan kuantitatif iaitu melalui kaedah tinjauan. Instrumen soal selidik
digunakan untuk mengumpulkan data. Responden yang terlibat dalam kajian ini ialah seramai
118 orang guru Bahasa Melayu sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Data
dianalisis secara deskriptif dengan menggunakan Statistical Packages for the Social Science
(SPSS) versi 25.0. Hasil daripada kajian ini menunjukkan bahawa tahap pengetahuan guru
Bahasa Melayu tentang kepentingan Google Classroom dalam pendidikan pada tahap tinggi
dengan skor min (µ) = 4.072 dan sisihan piawai (SP) = 0.613. Manakala, tahap pengaplikasian
Google Classroom dalam PdP pada tahap sederhana rendah dengan µ = 2.116 dan SP =
0.955. Hal ini menunjukkan guru bersetuju dengan pelaksanaan dan peranan Google
Classroom dalam pendidikan namun kurang melaksanakannya dalam PdP.
Kata kunci: Pengaplikasian, Google Classroom, Pengajaran dan Pembelajaran, Bahasa
Melayu.
PENGENALAN
Ledakan teknologi dan perkembangannya telah menyebabkan wujudnya pelbagai konsep
yang dihasilkan oleh banyak pihak dan boleh dimanfaatkan oleh warga dunia khususnya
dalam bidang pendidikan. Kaedah penyampaian telah berubah daripada kaedah tradisional
berpusatkan guru kepada kaedah berasaskan laman Web atau secara atas talian. Oleh itu,
keperluan teknologi sebagai salah satu medium dalam pendidikan sangat penting supaya
potensi murid dapat diperkembangkan sepenuhnya. Menyedari dengan perkembangan ini,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan matlamat memanfaatkan ICT dalam pengajaran guru.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 107

