Page 1168 - e Prosiding Serai 2021
P. 1168
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
PERNYATAAN MASALAH
Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) dibangunkan bertujuan untuk menjadi piawai
bagi penilaian standard bahasa dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Kewujudan KSBM
secara asasnya lahir selepas pengguna bahasa Melayu, khususnya guru sekolah yang telah
melalui proses pendidikan dalam kurikulum dan sistem penilaian sedia ada.
KSBM yang terbahagi kepada 6 tahap pencapaian dan setiap tahap pula dipecahkan
kepada 6 aras. Setiap aras diperingkatkan berdasarkan pemeringkatan hierarki menaik
dalam Taksonomi Bloom (kemas kini oleh Anderson dan Krathwohl, 2001) seharusnya
bersesuaian dengan pelbagai kebolehan dan pengalaman berbahasa pengguna bahasa
Melayu.
Isu yang berlaku dalam KSBM ialah sejauh mana deskriptor yang diletakkan dalam
setiap tahap khususnya dalam kategori pendidikan bersesuaian dengan keupayaan guru
bukan opsyen Bahasa Melayu yang telah melalui sistem pendidikan sedia ada iaitu di
peringkat latihan perguruan khususnya institut pendidikan guru.
Masalah yang diberikan fokus dalam kajian ini ialah pencapaian kemahiran menulis
berasaskan KSBM dalam kalangan guru bukan opsyen Bahasa Melayu. Kemahiran menulis
merupakan suatu aktiviti intelek yang saling melengkapi antara kemahiran bahasa yang lain.
Kemahiran menulis paling sukar berbanding komponen kemahiran berbahasa yang lain.
Kemahiran ini sukar dikuasai oleh guru bukan opsyen kerana kemahiran ini melibatkan proses
otak yang kompleks (Berninger & Richards, 2002). Keupayaan menulis merupakan proses
penyaluran maklumat yang bersifat mekanikal dan disalurkan secara bersistem, iaitu
mengambil kira matlamat, penggunaan bahasa, khalayak, dan gaya penulisan.
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif penyelidikan yang akan dijalankan adalah berikut :
1. Mengenal pasti kesesuaian Deskriptor Kemahiran Menulis berasaskan Kerangka
Standard Bahasa Melayu (KSBM) dalam kalangan guru bukan opsyen Bahasa
Melayu;
2. Meneroka kesesuaian Deskriptor Kemahiran Menulis berasaskan Kerangka
Standard Bahasa Melayu (KSBM) terhadap tahap pencapaian guru bukan opsyen
Bahasa Melayu
3. Memahami potensi kesesuaian Deskriptor Kemahiran Menulis berasaskan
Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) terhadap tahap pencapaian guru
bukan opsyen Bahasa Melayu.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 1146

