Page 731 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 731
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
LITERATUR KAJIAN
Tinjauan terhadap beberapa kajian lepas berkaitan kes-kes jenayah syariah, mendapati
terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan berkaitan RUU Akta 355. Antara kajian
tersebut ialah kajian yang telah dilaksanakan oleh Mohd Sabree (2018). Beliau telah mengkaji
tentang Akta 355 dan perkembangan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hasil kajian
mendapati terdapat keperluan meminda Akta 355.
Selain itu, terdapat juga kajian yang dijalankan oleh Jasri Jamal dan Hasnizam Hashim
(2017) yang mengkaji berkenaan keperluan kajian semula terhadap hukuman kes-kes
jenayah Syariah. Hasil kajian mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bentuk
hukuman bagi kes jenayah di Mahkamah Syariah dikaji semula antaranya keterbatasan
pemilihan bentuk hukuman oleh Hakim Syarie yang hanya boleh menjatuhkan hukuman
penjara, denda dan sebatan. Selain itu, hukuman takzir boleh dikenakan dalam pelbagai
bentuk hukuman sama ada berat dan ringan serta tidak tertakluk kepada satu-satu hukuman
sahaja seperti amaran, celaan, penjara, buang daerah, dan sebagainya. Selain itu,
ketidakseragaman hukuman bagi kesalahan yang sama dalam Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Negeri-Negeri akan menyebabkan masyarakat mempersoalkan asas yang diambil
kira oleh penggubal undang-undang Syariah dalam menentukan suatu bentuk hukuman. Oleh
itu, kajian semula terhadap bentuk hukuman di Mahkamah Syariah perlu diteliti dan dikaji.
Selain itu, kajian berkenaan persepsi pelajar UIAM terhadap RUU Akta 355 telah
dijalankan oleh Jefri Khairil dan Muhamad Fuzi (2019). Hasil kajian ini mendapati bahawa
terdapat tiga faktor yang mempengaruhi responden dalam memahami RUU Akta 355 iaitu
faktor agama, politik dan pengetahuan. Kajian ini juga mendapati bahawa responden yang
berlatar belakang agama lebih cenderung mempunyai persepsi positif terhadap RUU Akta
355. Selain itu juga, responden yang menyokong parti politik PAS juga cenderung untuk
menyokong RUU Akta 355.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan sampel seramai 35 orang pelajar Fakulti Undang-Undang di sebuah
IPTA di Selangor. Kajian ini merupakan kajian kuantitatif menggunakan kaedah tinjauan.
Instrumen soal selidik yang diedarkan secara rawak menggunakan google form. Instrumen
kajian ini terdiri daripada Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A mengandungi item-item
tentang latar belakang responden. Manakala Bahagian B pula terdiri daripada 7 item yang
berkaitan RUU Akta 355. Setiap item menggunakan pilihan jawapan berbentuk skala likert
lima mata. Instrumen ini mempunyai nilai kebolehpercayaan Alpha Cronbach yang sangat
tinggi iaitu 0.955.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 710

