Page 117 - Bahasa_Melayu_Komunikasi_Pendidikan_Khas_Tingkatan_2
P. 117
Membaca
Baca kemudian terangkan isi yang terdapat dalam petikan.
Pesta Magahau Etnik Rungus
6
Pesta Magahau ialah perayaan etnik Rungus yang terbesar sejak dahulukala.
Pesta ini dirayakan untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran kerana
mempunyai kehidupan yang aman damai, tahap kesihatan masyarakat yang
baik dan bekalan makanan yang mencukupi.
Aktiviti sampingan Pesta Magahau yang melibatkan ritual dan penyembahan
seperti Mamapak dan Mangatod turut diadakan. Walau bagaimanapun,
upacara tersebut tidak lagi diadakan pada masa kini kerana kebanyakan etnik
Rungus telah menganut agama Kristian dan Islam.
Sambutan Pesta Magahau secara besar-besaran telah mula dilaksanakan
pada tahun 2009 di Daerah Kecil Matunggong oleh Persatuan Momogun
Rungus Sabah (SAMORA) yang diterajui oleh Dato’ Jelani Hamdan. Pada
tahun 2015, serentak dengan pengiktirafan Rungus sebagai Etnik Penuh oleh
kerajaan negeri Sabah, Pesta Magahau juga diiktiraf oleh kerajaan negeri
dan kerajaan persekutuan. Pesta ini telah dimasukkan dalam kalendar
Pelancongan Sabah dan bulan Julai pada setiap tahun telah diisytiharkan
sebagai bulan Pesta Magahau.
Selaras dengan pengiktirafan tersebut, etnik Rungus telah diamanahkan
untuk mewakili Malaysia ke program bertaraf dunia, iaitu Internationale
Tourismus-Borse Berlin (ITB Berlin) 2016 dan World Travel Market London 2016.
(Sumber: Persatuan Momogun Rungus Sabah)
Cari maklumat tambahan tentang Pesta Magahau Etnik Kaum Rungus.
110 2.2.2

