Page 274 - Bahasa_Melayu_Tingkatan_4
P. 274

TEMA  2
                   1.1.1   Mendengar dan Bertutur
                   Makanan Sihat, Otak Cerdas – muka surat 16

                   Aku menyemak latihan bina ayat yang dibuat oleh murid-muridku. Aku capai satu lagi
                   buku latihan dan terpandang nama di kulit buku ... Muhammad Haikal bin Imran. Nama itu
                   mengingatkan aku tentang seseorang yang bernama Haikal juga. Peristiwa ini kekal dalam
                   ingatanku.
                      Aku melihat Haikal sendirian di bawah pohon rendang pada waktu rehat sedangkan
                   rakan-rakannya yang lain menikmati juadah di kantin. Rupa-rupanya, Haikal tidak
                   membawa duit saku atau bekalan makanan. Oleh sebab itu, setiap kali waktu rehat dia akan
                   duduk di situ membaca buku.
                      Selepas peristiwa itu, aku membawakan bekal untuk Haikal. Aku hanya membantu
                   sekadar yang termampu. Haikal pula pada waktu itu bagai yang disebut dalam peribahasa
                   Melayu, “orang haus diberi air, orang lapar diberi nasi”. Bantuan itu memang diperlukannya.
                      Sekarang Haikal telah bekerja. Dia menjadi Pegawai Dietetik di sebuah hospital kerajaan.
                   Pada petang semalam, sedang aku menonton televisyen di ruang tamu sambil melipat kain
                   pelekat, Haikal datang ke rumahku.

                   Haikal: Kalaulah dahulu saya bena tak bena terhadap nasihat cikgu, tentu saya tidak akan
                          berjaya seperti sekarang.
                   Cikgu:  Haikal pun murid yang rajin dan mendengar kata. Nasihat cikgu tidak terbang di
                          angin lalu sahaja.  Haikal tidak menganggap nasihat cikgu hanya menyemak fikiran.
                          Eh, yang di tangan Haikal itu apa?
                   Haikal: Oh, ini pelekat tentang pemakanan sihat! Cikgu boleh berikan pelekat ini kepada
                          murid-murid. Pelekat ini boleh ditampal di mana-mana sebagai peringatan tentang
                          pemakanan sihat. Bukankah cikgu dahulu selalu mengingatkan saya agar menjaga
                          pemakanan?
                   Cikgu:  Ha, ha, ha! Ya, cikgu masih ingat.
                   Haikal: Cikgu  memang  arif  tentang  pemakanan.  Saya  pula  suka  makan  rendang  daging
                          tetapi cikgu larang saya makan banyak-banyak. Kata cikgu, pengambilan minyak
                          yang banyak tidak baik untuk kesihatan.
                   Cikgu:  Semua  itu  untuk  kebaikan  Haikal  juga.  Bukankah  Haikal  gemar  bernyanyi  duet
                          dengan Farisha? Nanti rosak pula suara Haikal yang merdu itu.
                   Haikal: Ah, ada-ada saja cikgu ini!
                   Cikgu:  Cikgu bergurau saja. Selain rendang, minuman yang ada kafein juga cikgu minta
                          Haikal kurangkan. Minuman berkarbonat pula tidak dibenarkan sama sekali.
                          Masakan cikgu pula tidak mengandungi perasa tiruan atau monosodium glutamat
                          (MSG) langsung.
                   Haikal: Terima kasih cikgu kerana memberikan tuntun yang baik kepada saya. Jasa cikgu
                          amat saya hargai.












                252
   269   270   271   272   273   274   275   276   277   278   279