Page 275 - Bahasa_Melayu_Tingkatan_4
P. 275

TEMA  2
                    1.1.2   Mendengar dan Bertutur
                    Kuala Lumpur, Kota Buku Dunia – muka surat 22

                     Kuala  Lumpur  dinobatkan  sebagai  Kota  Buku  Dunia  2020  dengan  slogan  “KL  Baca:
                     Menyantuni Masyarakat melalui Pembacaan” oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
                     Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang juga dikenali sebagai United Nations
                     Educational, Scientific and Cultural Organization  atau  ringkasnya  UNESCO. Keputusan
                     yang diumumkan oleh Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay itu berdasarkan saranan
                     Jawatankuasa Penasihat Kota Buku Dunia.
                        Kuala Lumpur dipilih kerana adanya fokus yang tinggi terhadap pendidikan yang inklusif,
                     pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan, dan kebolehcapaian membaca
                     kepada segenap populasinya. Program ini menumpukan perhatian kepada empat tema,
                     iaitu membaca dalam semua bentuk, pembangunan infrastruktur industri buku, inklusif
                     dan akses digital, dan pemberdayaan kanak-kanak melalui membaca.  Aktiviti pembacaan
                     dan pengupayaan buku turut tertumpu kepada golongan gelandangan, orang kurang upaya,
                     orang asli, anak yatim, dan banduan.
                        Antara acara dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kota Buku ialah pembinaan kota buku,
                     kempen membaca dalam kalangan pengguna tren, peningkatan perkhidmatan dan capaian
                     digital oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk orang kurang upaya, dan perkhidmatan
                     digital baharu kepada 12 perpustakaan di kawasan perumahan kos rendah.
                        Sesebuah kota itu dikatakan mempunyai rohnya sendiri apabila aktiviti di sekitar
                     pusat bandar dipenuhi dengan aktiviti yang mengayakan minda dan mengasah pemikiran
                     warga kota. Selain acara hiburan hujung minggu di sana-sini, Kuala Lumpur juga berhak
                     mempunyai acara jualan buku dan aktiviti yang berkaitan dengannya.
                        Acara perbukuan pernah diadakan di Kuala Lumpur dan mendapat sambutan yang
                     menggalakkan daripada warga kota. Antara  acara tersebut termasuklah Kota Kata di ruang
                     pesiar kaki di Maju Junction dan Festival Sastera Kanak-kanak di Jalan Tunku Abdul Rahman.
                     Sebagai Kota Buku Dunia, acara-acara perbukuan seperti ini tentu akan lebih menarik.


                    TEMA  3
                    1.2.1   Mendengar dan Bertutur
                    Di Sebalik Tabir Pesawat – muka surat 28

                    Nurin:   Dr.  Wan,  saya  Nurin  pelajar  tingkatan  4  dari  SMK  Budi  Daya.  Saya  ingin
                             mendapatkan  maklumat tentang kerjaya dalam bidang penerbangan.
                    Dr. Wan: Selamat datang ke tapak pameran kami. Tahukah Nurin, peluang kerjaya dalam
                             bidang penerbangan sangat luas?
                    Nurin:   Bolehkah Dr. jelaskan lebih lanjut?
                    Dr. Wan:  Bidang penerbangan ini menawarkan pelbagai pilihan kerjaya. Ada yang bertugas
                             di darat dan ada juga yang bertugas di udara.
                    Nurin:   Apakah contoh kerjaya penerbangan yang bertugas di udara?
                    Dr. Wan: Untuk  makluman  Nurin,  kerjaya  yang  tugasnya  di  udara  ialah  juruterbang,
                             pramugara, dan pramugari.
                    Nurin:  Apakah kelayakan yang diperlukan?
                    Dr. Wan: Nurin,  kelayakan  yang  diperlukan  untuk  kerjaya  ini  ialah  memiliki  sekurang-
                             kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia. Namun, ada juga yang memiliki diploma dan
                             ijazah pertama.


                                                                                                        253
   270   271   272   273   274   275   276   277   278   279   280