Page 113 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 113
JURNAL PENDIDIKAN TINGKATAN ENAM 2019 JILID 3
PENGGUNAAN PERISIAN E-RAPSIMUS DALAM MENINGKATKAN
KEMAHIRAN ASAS TATABAHASA BAHASA MELAYU PELAJAR
TINGKATAN ENAM
Mohd Mustaza bin Abd Manap
Pusat Tingkatan Enam SMK Dato' Mohd Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Abstrak 7
Kajian ini dilaksanakan untuk menilai keberkesanan penggunaan perisian "e-rapsimus" dalam
meningkatkan kemahiran asas tatabahasa Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Tingkatan
Enam. Kumpulan sasaran kajian ini terdiri daripada 16 orang pelajar (responden) Tingkatan 6 UKM,
iaitu terdiri daripada lapan orang pelajar lelaki dan lapan orang pelajar perempuan. Kajian yang
dijalankan ini berfokuskan kemahiran asas tatabahasa Bahasa Melayu, iaitu kemahiran mengingat
dan memahami rumus tatabahasa. Kajian ini juga sebagai satu strategi untuk mendorong minat
pelajar mempelajari kemahiran asas tatabahasa Bahasa Melayu secara e-pembelajaran dengan
lebih efektif. Tinjauan awal mendapati bahawa pelajar sering menghadapi masalah untuk mengingat
dan memahami rumus asas tatabahasa. Hal ini menyebabkan para pelajar tidak dapat menjawab
soalan dengan baik dalam peperiksaan Bahasa Melayu Semester 2 Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM). Untuk mengatasi masalah ini, saya telah menghasilkan satu perisian khas
tatabahasa Bahasa Melayu berbentuk e-pembelajaran yang dibangunkan dengan sistem perisian
Flash, Adobe Photoshop CS6, Adobe Ilustrator CS6, Audacity, Power Director, dan Microsoft Office,
iaitu berasaskan model reka bentuk pengajaran ADDIE. Perisian ini juga boleh dicapai dalam pelbagai
platform dan peranti elektronik. Sepanjang proses pelaksanaan kajian, saya telah menggunakan
beberapa item penilaian untuk menguji keberkesanan perisian "e-rapsimus" ini seperti praujian,
pascaujian, dan soal selidik. Hasil dapatan kajian menunjukkan peningkatan penguasaan kemahiran
asas tatabahasa, khususnya dari segi peningkatan keputusan pascaujian berbanding dengan
keputusan praujian yang telah diperoleh.
Kata Kunci: Kemahiran asas tatabahasa, kemahiran mengingat dan memahami, perisian
“e-rapsimus”, lagu tatabahasa, model ADDIE.
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU
Berdasarkan pemerhatian sebagai guru subjek Bahasa Melayu STPM, saya sering
menghadapi masalah dalam menghasilkan suatu pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan. Hal ini bertambah rumit, apabila memasuki Semester 2, pelajar akan
melaksanakan kerja kursus dan mengikuti sukatan pelajaran yang agak mencabar.
Pada Semester 2 ini, pelajar akan mempelajari sistem tatabahasa Bahasa Melayu yang
luas sukatan pembelajarannya. Dalam tempoh yang singkat, iaitu sekitar empat bulan,
pelajar perlu menguasai kemahiran tatabahasa dan mengingati rumus tatabahasa yang
agak kompleks. Penghasilan kerja kursus dan pembelajaran sistem tatabahasa secara
serentak menyebabkan para pelajar hilang fokus dalam mengekalkan tumpuan mereka
dalam pembelajaran. Hal ini sangat jelas apabila keputusan Semester 2 subjek Bahasa
Melayu diumumkan. Kemerosotan ini memberi impak kepada keputusan keseluruhan
subjek Bahasa Melayu STPM.
112 Bahagian Pengurusan Sekolah Harian

