Page 115 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 115
JURNAL PENDIDIKAN TINGKATAN ENAM 2019 JILID 3
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
3.1 Objektif Umum
Tujuan kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan pembelajaran tatabahasa Bahasa
Melayu melalui penggunaan perisian "e-rapsimus" dalam kalangan pelajar tingkatan
enam. Melalui pembelajaran berbantukan perisian yang interaktif, autentik, berkesan dan
menarik mampu untuk meningkatkan kemahiran asas tatabahasa para pelajar.
3.2 Objektif Khusus
3.2.1 Meningkatkan kemahiran asas tatabahasa Bahasa Melayu melalui e-pembelajaran
berasaskan perisian tatabahasa yang mesra pengguna,
3.2.2 Mendorong pelajar untuk mempelajari teknik pembelajaran yang lebih
menyeronokkan,
3.2.3 Mengenal pasti penggunaan perisian "e-rapsimus" dalam meningkatkan minat
dan penglibatan pelajar,
3.2.4 Meningkatkan pencapaian keputusan subjek Bahasa Melayu STPM.
4.0 KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran terdiri daripada 16 orang pelajar (responden) subjek Bahasa Melayu
tingkatan enam UKM, iaitu lapan orang pelajar lelaki dan lapan orang pelajar perempuan.
Penglibatan pelajar secara menyeluruh dilakukan agar semua pelajar dapat memperoleh
manfaat seperti yang diharapkan.
5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 Tinjauan Masalah
Pengesanan terhadap proses PdP Bahasa Melayu menunjukkan bahawa para pelajar
gagal menguasai kemahiran asas tatabahasa Bahasa Melayu. Hal ini disebabkan
oleh kemahiran asas tatabahasa yang lemah, khususnya kemahiran asas tatabahasa
mengingati konsep, rumus dan kemahiran asas tatabahasa. Oleh itu, hasil daripada
tinjauan masalah ini, pengkaji telah melaksanakan praujian bagi mengenal pasti dan
menganalisis kelemahan pelajar. Selain itu, pengkaji juga melakukan aktiviti pemerhatian
untuk memahami permasalahan pelajar.
114 Bahagian Pengurusan Sekolah Harian

