Page 38 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Cetakan Semula Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 38
Perlembagaan Persekutuan
CaTaTaN
per. 14
1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 23, berkuat kuasa dari
16-09-1963, tetapi Fasal (1)(c), (2) dan (3), yang diturunkan di bawah ini, dimansuhkan oleh
Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 09-08-1965:
“(1)(c) tiap-tiap warganegara Singapura.
(2) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, peruntukan mengenai kewarganegaraan
Singapura boleh dibuat oleh Perlembagaan Negeri itu, dan boleh dipinda melalui undang-
undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri itu dan diluluskan melalui Akta
Parlimen.
(3) Kewarganegaraan Singapura tidaklah boleh dipisahkan daripada kewarganegaraan
Persekutuan, tetapi jika seseorang warganegara Singapura kehilangan salah satu kewarganegaraan
itu maka hilanglah kewarganegaraannya yang satu lagi (tertakluk kepada peruntukan yang
dibuat oleh Bahagian ini untuk pendaftaran seseorang warganegara Singapura sebagai
seorang warganegara yang bukan warganegara Singapura).”.
2. Perkara yang dahulu, seperti yang terdapat pada tarikh pemansuhan, berbunyi seperti yang
berikut:
“14. (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini, orang yang berikut
ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
(a) tiap-tiap orang yang, sebaik sebelum Hari Merdeka, menjadi warganegara Persekutuan
menurut kuasa mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948,
sama ada melalui kuat kuasa undang-undang atau selainnya;
(b) tiap-tiap orang yang lahir di dalam Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka;
(c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang
bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara dan juga telah lahir
di dalam Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan
di bawah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan sesuatu Negeri;
(d) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang
bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara jika kelahiran itu
didaftarkan di Konsulat Tanah Melayu atau, dalam hal mana-mana orang yang
lahir di dalam mana-mana wilayah ditetapkan, dengan Kerajaan Persekutuan, dalam
tempoh satu tahun berlakunya kejadian itu, atau dalam suatu tempoh yang lebih
lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mana-mana
hal tertentu.
Bagi maksud perenggan (d) Fasal ini “wilayah ditetapkan” ertinya Singapura, Sarawak,
Brunei atau Borneo Utara, atau mana-mana wilayah lain sebagaimana yang ditetapkan oleh
Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud itu.
(2) Seseorang bukanlah seorang warganegara menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1)
jika, pada masa dia lahir—
(a) bapanya, yang bukan seorang warganegara Persekutuan, mempunyai apa-apa kekebalan
daripada guaman dan proses undang-undang sebagaimana yang diberikan kepada
utusan sesuatu kuasa berdaulat yang diwatikahkan kepada Yang di-Pertuan Agong;
atau
(b) dalam hal kelahiran yang berlaku di suatu tempat di bawah pendudukan musuh,
bapanya ialah seorang orang asing musuh; atau
(c) kedua-dua ibu bapanya bukan warganegara Persekutuan dan kedua-duanya bukan
pemastautin tetap di dalam Persekutuan:
Dengan syarat bahawa perenggan (c) Fasal ini tidak terpakai—
(i) bagi mana-mana orang yang lahir di dalam Persekutuan sebelum tarikh permulaan
kuat kuasa seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1962;
(ii) bagi mana-mana orang jika, akibat daripada pemakaian perenggan itu, dia tidak
akan menjadi warganegara mana-mana negara.
(3) Bagi maksud Perkara ini, seseorang yang lahir di dalam sesuatu kapal atau pesawat
udara berdaftar hendaklah disifatkan telah lahir di tempat di mana kapal atau pesawat udara
itu telah didaftarkan, dan seseorang yang lahir di dalam sesuatu kapal atau pesawat udara
tidak berdaftar kepunyaan Kerajaan mana-mana negara hendaklah disifatkan telah lahir di
negara itu.

