Page 111 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN CETAKAN SEMULA Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 111
[Perkara 55] Perlembagaan Persekutuan 64
memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen
55. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen
dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan
berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan
tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal
yang berikutnya.
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan
Parlimen.
(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen
hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat
pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah
diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan
Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang
tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.
(5) Sesuatu rang Undang-Undang yang belum diputuskan di
dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan
Parlimen.
(6) (Dimansuhkan).
(7) Sesuatu rang Undang-Undang yang menantikan perkenan
Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4a)
Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau
pembubaran Parlimen.
Yang di-pertua dan timbalan Yang di-pertua Dewan negara
56. (1) Dewan Negara hendaklah dari semasa ke semasa memilih
seorang daripada ahlinya untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan
Negara dan seorang untuk menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan
Negara, dan tidak boleh, tertakluk kepada Fasal (3), menjalankan
apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain
pemilihan Yang di-Pertua.
(2) Seseorang ahli yang memegang jawatan sebagai Yang di-
Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua terhenti memegang jawatannya
apabila habis tempoh yang baginya dia dipilih atau dilantik menjadi
ahli atau apabila selainnya dia terhenti menjadi ahli Dewan
Negara, atau apabila telah hilang kelayakan di bawah Fasal (5),
dan boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.

