Page 279 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN CETAKAN SEMULA Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 279

[Perkara  143]      Perlembagaan  Persekutuan                   150

              syarat-syarat  perkhidmatan  anggota suruhanjaya

              143.  (1)  Kecuali  sebagaimana  yang  diperuntukkan  di  bawah
              Fasal  (2)  Perkara  142,  seseorang  anggota  sesuatu  Suruhanjaya
              yang baginya  Bahagian  ini  terpakai,  selain  anggota ex officio—

                    (a)  hendaklah dilantik bagi tempoh lima tahun atau, jika Yang
                        di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya
                        tetapi  selepas  menimbangkan  nasihat  Perdana  Menteri
                        dalam sesuatu hal tertentu menentukan sedemikian, bagi
                        apa-apa  tempoh  yang  lebih  singkat  yang  ditentukan
                        sedemikian  olehnya;

                    (b)  boleh, melainkan jika hilang kelayakan, dilantik semula
                        dari semasa ke  semasa;  dan

                    (c)  boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi
                        tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan
                        dan  mengikut  cara  yang  sama  seperti  seorang  hakim
                        Mahkamah Persekutuan.

                (2)  Parlimen  hendaklah  melalui  undang-undang  membuat
              peruntukan bagi saraan mana-mana anggota Suruhanjaya tersebut
              selain seseorang anggota yang peruntukan bagi saraannya sebagai
              pemegang apa-apa jawatan lain ada dibuat melalui undang-undang
              persekutuan; dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah
              dipertanggungkan  pada  Kumpulan Wang Disatukan.

                (3)  Saraan  dan  terma-terma  lain  jawatan  bagi  seseorang
              anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai
              tidak  boleh,  selepas  pelantikannya,  diubah  menjadi  kurang  baik
              baginya.


              Fungsi suruhanjaya  perkhidmatan

              144.  (1)  Tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang
              yang sedia ada dan kepada peruntukan Perlembagaan ini, menjadi
              tugas  sesuatu  Suruhanjaya  yang  baginya  Bahagian  ini  terpakai
              untuk melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan
              tetap atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukarkan
              dan  menjalankan  kawalan  tatatertib  ke  atas  anggota-anggota
              perkhidmatan atau perkhidmatan-perkhidmatan yang diliputi oleh
              bidang kuasanya.

                (2)  Undang-undang  persekutuan  boleh  membuat  peruntukan
              bagi mana-mana  Suruhanjaya itu  menjalankan  fungsi  lain.
   274   275   276   277   278   279   280   281   282   283   284