Page 45 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 45
Penggabungjalinan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang STEM:
Satu Kesepaduan Menyeluruh
Raihan Md Faissal
SK Jenderam Hilir
yanmdfaissal@gmail.com
Abstrak
Pendidikan STEM ini merupakan salah satu agenda yang ditekankan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Beberapa dasar yang menyokong agenda ini ialah Dasar 60% Sains: 40%
Sastera, Wawasan 2020 dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DsSTIN) serta pengoperasian Pusat STEM
Negara yang bermula pada bulan Mei. Mata pelajaran yang terdapat dalam bidang STEM ini ialah Sains, Fizik, Matematik,
Kimia, Biologi, Sains Komputer dan Reka Bentuk dan Teknologi. Pendidikan STEM dalam konteks pembelajaran dan
pemudahcaraan merangkumi tiga aspek utama iaitu bidang pembelajaran (sekolah dan peringkat tertiari), pakej mata
pelajaran (kombinasi mata pelajaran pengkhususan STEM) dan pendekatan pengajaran (pengaplikasian pengetahuan,
kemahiran dan nilai untuk menyelesaikan masalah). Kajian ini memberi tumpuan kepada cabaran yang wujud ke arah
pengaplikasian pendidikan STEM dalam kurikulum di Malaysia. Beberapa inisiatif yang dicadangkan untuk mengatasi
cabaran ini seperti penganjuran latihan profesional untuk guru-guru mata pelajaran STEM, tokoh Guru Cemerlang
sebagai ‘Ikon STEM’ di sekolah serta pemantapan elemen bahasa Melayu untuk menyampaikan maklumat dalam
pembelajaran di sekolah.
Kata kunci: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pengoperasian, inovasi, pemudahcaraan, inisiatif
---------- +++++ ----------
Penggunaan Bahasa Melayu dalam Komunikasi Lisan dan Bertulis
oleh Pelajar Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Amirul Mukminin Mohamad, Azlan Ahmad, Noorhazila Mohd Hamid,
Sofia Ayup, Zuraini Mohaidin
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
mieroll@ukm.edu.my
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat kekerapan penggunaan bahasa Melayu oleh pelajar Melayu di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dalam komunikasi lisan yang melibatkan perbincangan bersama rakan-rakan sekelas dan pensyarah
sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, serta komunikasi bertulis seperti mesej dalam media sosial, penulisan
emel mahupun surat rasmi kepada rakan atau pensyarah. Kajian tinjauan ini melibatkan 258 orang pelajar Melayu
di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengikuti pelbagai program pengajian di peringkat prasiswazah.
Data kajian dianalisis menggunakan analisis statistik deskriptif secara peratusan untuk mengetahui nilai kekerapan
bagi setiap situasi penggunaan bahasa Melayu. Skala likert lima mata bagi nilai kekerapan tersebut ditandai dengan
Setiap Masa, Kerap, Kadang-Kadang, Jarang dan Tidak Pernah. Kutipan data dilakukan dengan menggunakan borang
soal selidik dalam talian melalui aplikasi Google Form. Analisis peratusan bagi aspek komunikasi lisan mencatatkan
nilai melebihi 70% bagi skala kekerapan ‘Setiap Masa’ dalam penggunaan bahasa Melayu ketika berurusan dengan
kakitangan fakulti/kolej di kaunter (82%) dan ketika bertanya atau mengemukakan pendapat semasa mesyuarat (71.4%)
manakala aspek komunikasi bertulis pula mencatatkan nilai peratusan yang sama hanya dalam penulisan surat rasmi
yang dihantar kepada pihak universiti (70.4%). Hasil kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan bahasa dalam
kedua-dua aspek komunikasi pelajar Melayu di UKM turut dikuasai oleh penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa
Arab dalam beberapa perkara tertentu, selain bahasa Melayu. Dapatan kajian ini diharap mampu menyumbang kepada
perancangan program, kursus dan langkah bersesuaian untuk membudayakan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam
kalangan pelajar di Malaysia.
Kata kunci: Bahasa Melayu, Pelajar Melayu, Komunikasi Lisan, Komunikasi Bertulis
7
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 43

