Page 48 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 48

Seloka Sebagai Bentuk Puisi Sisipan dalam Cerita Jenaka Melayu:
                                             Analisis Tekstual dan Kontekstual

                                                  Mohd Fauzi bin Abdullah

                                  IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
                                                   fauzi@ipgkbm.edu.my

                                                         Abstrak

        Kajian ini menganalisis seloka sebagai puisi sisipan cerita jenaka Melayu dalam Kumpulan Cerita Jenaka Melayu, Karya
        Agung, Yayasan Karyawan, 2007. Kajian memberi tumpuan terhadap analisis tekstual dan kontekstual puisi seloka.
        Aspek tekstual merangkumi analisis ciri bentuk dan isi teks. Sementara aspek kontekstual menganalisis pemikiran teks
        sezaman dan konteks penggunaan masa kini dalam masyarakat.  Seloka digunakan untuk mengindahkan penyampaian
        cerita jenaka dalam sastera lisan. Penggunaannya yang santai dan menghiburkan adalah adunan unsur jenaka – sindiran
        yang memberikan pengajaran secara langsung dan tak langsung kepada khalayak pendengar. Seloka mengungkapkan
        gambaran nilai jati diri Melayu kerana di dalamnya terkandung khazanah bangsa yang harus dipertahankan dalam
        kehidupan masyarakat Melayu. Dalam konteks pembangunan dan pemantapan jati diri Melayu, kajian ini adalah penting
        kerana melalui pemahaman jati diri yang mantap akan terpancar ketatasusilaan, kebijaksanaan dan pekerti bangsa
        Melayu yang telah diwarisi sejak zaman berzaman, dan masih berguna untuk dihayati oleh masyarakat masa kini. Hal ini
        wajar diberi perhatian terutama dalam menghadapi polemik semasa serta cabaran globalisasi yang dikatakan mampu
        mengubah jati diri sesuatu bangsa. Kajian ini dijalankan secara analisis kandungan dan analisis kajian mengunakan
        prinsip struktural puisi tradisional yang dikemukakan oleh Harun Mat Piah. Bahan kajian diteliti dari sejumlah 11 buah
        cerita jenaka yang popular dalam masyarakat Melayu iaitu Hikayat Sang Kancil, Pelanduk Dengan Anak Memerang,
        Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Musang
        Berjanggut, Hikayat Abu Nawas. Dari aspek tekstual analisis bentuk menunjukkan seloka secara teknis adalah puisi
        bebas yang mungkin berbentuk pantun, syair, gurindam, peribahasa, ungkapan berirama dan lirik nyanyian senda gurau.
        Isinya selalu berkait dengan sindiran jenaka yang menghiburkan namun sarat dengan pengajaran dan iktibar. Sementara
        dari aspek kontekstual, pemikiran dalam seloka adalah gambaran pemikiran masyarakat Melayu menanggapi pelbagai
        permasalahan sosial masyarakat yang bukan hanya berguna untuk masa silam, bahkan untuk panduan masa kini dan
        masa akan datang. Sesungguhnya seloka berperanan sebagai iktibar, peringatan, dan nasihat yang dapat membawa
        manfaat dan menemukan kemuafakatan kepada masyarakat.

        Kata kunci: seloka, puisi sisipan, cerita jenaka,Karya Agung, Yayasan Karyawan


                                                  ---------- +++++ ----------
































        KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 |  27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU                                                                                                                                         47
   43   44   45   46   47   48   49   50   51   52   53