Page 25 - Buletin JPP Lmuharib'IIS Edisi Disember
P. 25
Paku di batang kayu
Paku di batang kayu
Tersebutlah kisah di satu ketika, ada seorang lelaki yang sangat cepat dan selalu
marah. Kadang-kadang marah hanya sebab masalah kecil, tapi beliau selalu tidak
dapat menahan kemarahan beliau. Kalau dia tersepak batu pun, habislah batu tersebut
disumpah seranahnya.
Si bapa lelaki ini telah dapat memikirkan cara untuk anaknya mengurangkan sifat
marah. Si bapa telah memberikan anaknya yang pemarah itu sekotak paku, tukul dan
batang kayu. Kata bapanya,"Anakku, setiap kali kau marah, benamkanlah sebatang
paku ke dalam batang kayu ini." Si anak patuh dengan arahan bapanya dan dia
membenamkan sebatang paku setiap kali beliau marah. Untuk hari pertama sahaja,
beliau telah membenamkan hampir 30 batang paku. Pada hari kedua, si anak telah
mengurangkan marahnya di mana bilangan paku yang telah dibenamkan berkurang
kepada 27 batang, dan terus berkurang pada hari-hari seterusnya sehingga tiada lagi
paku yang dibenamkan pada beberapa minggu kemudiannya. Si anak kini telah
berubah, beliau tidak lagi cepat marah.
Melihat perubahan anaknya, si bapa pun berkata kepada anaknya, "Syukurlah, kau
bukan lagi pemarah seperti dahulu. Sekarang, setiap kali kau menahan perasaan
marah, cabutlah sebatang paku daripada batang kayu tersebut." Maka si anak
mencabut setiap paku yang ada setiap kali beliau menahan marah sehingga tiada lagi
paku yang ada di batang kayu tersebut.
Si anak yang gembira pun menunjukkan batang kayu yang telah bersih daripada paku
tersebut dengan ayahnya. Seraya ayahnya pun berkata,"Kau telah melakukannya
dengan baik, anakku. Namun, cuba kau lihat kesan paku pada kayu tersebut. Walaupun
tiada lagi paku di situ, namun kesannya masih jelas kelihatan di batang kayu tersebut.
Apabila kau berkata sesuatu dengan perasaan marah, ia akan meninggalkan kesan
sama seperti di kayu ini. Kau boleh menikam sebatang pisau pada badan seorang lelaki
dan mencabutnya. Namun, tidak kira betapa banyak kau meminta maaf, luka yang
tidak dapat dilihat itu akan terus ada. Memarahi seseorang secara verbal tetap sama
dengan menyerang secara fizikal, malah ada ketikanya ia
meninggalkan kesan yang lebih mendalam."
NUKILAN: MOHAMAD ZAFRI AZRI BIN ZAKARIA,
PISMP, PAI 2

