Page 150 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 150
Penerimaan Kosa Kata Asing Dalam Bahasa Melayu
Hisamuddin Abdul Ghani, Hasnah Mohamad, Phd
Norazlina Haji Mohd Kiram, Phd
Universiti Putra Malaysia
hisam_75@yahoo.com
Abstrak
Kosa kata asing (KKA) dalam bahasa Melayu telah sekian lama wujud dalam bahasa Melayu.
Pengaruh utama adalah daripada bahasa Inggeris melibatkan sejumlah kosa kata yang banyak.
Pada awalnya kemunculan pengaruh asing ini bertujuan untuk memperkayakan bahasa Melayu
yang pada suatu waktu dahulu ketandusan kosa kata. Namun akibat daripada sikap tolenransi
bahasa yang berlebihan telah menyebabkan sebahagian besar KKA yang digunakan dalam
masyarakat gagal mengekalkan sifat keaslian bahasa Melayu iaitu sebutan baku. Masalah ini
timbul disebabkan kecenderungan masyarakat mengggunakan bunyi sebutan asing untuk KKA.
Oleh itu, kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mengenalpasti penerimaan golongan pelajar
terhadap KKA dalam bahasa Melayu dari sudut sosiolinguistik. Untuk menjalankan kajian ini
dua kaedah digunakan iaitu ujian sebutan kata (USK) secara temu bual terbuka. Analisis semantik
leksikal diterapkan untuk membincangkan sikap bahasa pelajar dari sudut sosiolinguistik. Hasil
kajian secara kualitatif menunjukkan bahawa sebahagian besar pelajar memilih untuk
menggunakan sebutan asing terhadap KKA.
Kata kunci: bahasa Melayu, kosa kata asing, sosiolinguistik
PENGENALAN
Untuk berfungsi sebagai bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi, bahasa Melayu mesti
memiliki sejumlah perbendaharaan kata yang mencukupi bagi membolehkannya mengungkapkan
perkara-perkara baharu yang lebih kompleks dan rencam sama ada yang bersifat konkrit mahupun
abstrak. Menurut Zaharani Ahmad, Nor Hashimah Jalaluddin, Fazal Mohamed Mohamed Sultan,
dan Harishon Radzi (2011), pemerkasaan atau perkembangan perbendaharaan kata dengan cara
begini penting bagi membolehkan bahasa itu sendiri bergerak maju seiring dengan kemajuan yang
dilalui oleh masyarakat penuturnya.
Dari sudut perkembangan bahasa pula, penambahan perbendaharaan kata lazimnya boleh
dihasilkan melalui dua cara. Pertama, masyarakat sesebuah bahasa itu mencipta perbendaharaan
kata mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan kecekapan para penutur tentang bahasa mereka.
Kedua, penambahan perbendaharaan kata boleh dilakukan melalui proses penyerapan kosa kata
asing (KKA). Proses penyerapan terjadi apabila berlakunya pertembungan antara satu bahasa
dengan satu bahasa yang lain (Nor Hashimah Jalaluddin, 2014; Operstein, 2015). Penyerapan
perbendaharaan KKA lazimnya didorong oleh keperluan untuk memberikan nama kepada benda-
benda dan konsep-konsep baharu (Langacker, 1968).
Hakikatnya, zaman telah berubah dengan begitu pantas pada era moden ini yang turut
membawa perubahan kepada sesebuah bahasa (Genevieve Escure, 1984; Seddik, 2012; Wolfram,
2006). Perubahan juga berlaku terhadap bahasa Melayu selepas wujudnya sikap kecenderungan
menggunakan KKA yang diserap ke dalam bahasa Melayu dan tanpa disedari kata-kata Melayu
140

