Page 146 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 146
membuat refleksi tentang jenis pemikiran yang dikehendaki oleh soalan yang ditujukan kepadanya
dan sama ada ia dapat dijawab. Amalan ini dapat membawa perubahan besar dalam cara pemikiran
murid dan menggalakkan mereka berfikir secara mendalam (Barak et al. 2007).
Menggalakkan Pemikiran Aktif
Guru harus menggalakkan pemikiran aktif murid melalui aktiviti (Saido, 2015) atau
tugasan. Oleh kerana pembelajaran yang berkesan hanya wujud apabila ada penglibatan murid
dalam proses dan memahami hasilnya (Putcha, 2012), guru harus menggalakkan penglibatan
murid secara aktif dalam aktiviti PdP di dalam bilik darjah seperti menyoal, menyelesaikan
masalah kompleks, mengulas, membahas dan sebagainya. Apabila merangsang pemikiran
sebegini adalah penting guru hanya menjadi role model kepada murid dan bukan mendominasi
perbualan bilik darjah dengan pendapat sendiri (Ashton-Hay, 2006). Penyertaan murid secara aktif
akan membantu perkembangan kognitif murid dan secara tidak langsung akan membantu mereka
menguasai kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan.
Mewujudkan Persekitaran yang Selesa
Murid yang berdaya tahan, berdisiplin dan cekap merupakan murid yang mengalami
persekitaran yang selesa, iaitu, berjaga-jaga dalam santai (Caine, 2016). Dalam persekitaran yang
selesa, hubungan baik antara guru dan murid akan terbentuk. Persekitaran yang selesa itu
merupakan salah satu perkara asas untuk membolehkan pemikiran berfungsi. Dalam persekitaran
selesa murid akan berasa selesa mengutarakan pemikiran, idea dan inovasi (Saido, 2015). Maka,
persekitaran yang memupuk kecekapan, keyakinan dan motivasi untuk belajar adalah sangat
penting. Pada akhirnya, perkara yang mempengaruhi dan membentuk murid adalah
kebijaksanaan, belas kasihan, kesabaran dan pengetahuan yang dimiliki oleh guru. Maka, boleh
disimpulkan bahawa pembelajaran berlaku apabila ada perhatian dan motivasi. Di samping itu, ia
harus menyeronokkan dan bermakna.
PENUTUP
Memperbaiki kualiti pemikiran murid merupakan asas reformasi pendidikan masa kini.
Murid abad ke-21 hendaklah dilengkapkan dengan KBAT supaya mereka mampu mengumpul,
menilai dan menggunakan maklumt secara efektif untuk menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan di tempat kerja mahupun kehidupan seharian. Sebagai pendokong dasar kerajaan dan
pembentuk generasi, guru harus meluaskan pengetahuan mereka tentang strategi PdP yang dapat
membantu mereka membentuk murid dengan KBAT (Barak et al. 2007). Keprihatinan dan
kesediaan guru merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelaksanaan KBAT. Ini bukan
sahaja akan membantu mereka mangatur startegi PdP tetapi mengembangkan potensi diri supaya
lebih kompeten selaras dengan kehendak inovasi. Kementerian, pentadbir sekolah, ibu bapa dan
orang awam pula hendaklah memberi sokongan padu kepada guru untuk mencuba strategi baharu
dengan selesa (Sparapani, 1998). Oleh kerana keberhasilan KBAT tidak ditentukan oleh sesuatu
situasi tertentu tetapi pengalaman seseorang (Lewis & Smith, 1993), guru harus menggunakan
sebahagian besar masa PdP untuk menggalakkan KBAT di kalangan murid melalui strategi dan
teknik pedagogi yang berkesan.
136

