Page 152 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 152
SOROTAN KAJIAN LEPAS
Pengaruh KKA juga dapat ditakrifkan sebagai penyerapan atau peminjaman kata (Crystal,
2008). Oleh itu, istilah pengaruh asing dalam kajian ini secara khususnya merujuk kepada
peminjaman KKA. Raymond Hickey (2010) menerusi bukunya yang berjudul The Handbook of
Language Contact menyatakan bahawa istilah pinjaman adalah tidak tepat memandangkan tiada
apa yang dipinjam oleh A daripada B tetapi istilah tersebut diwujudkan di lapangan dan diamalkan
bagi memastikan kesinambungannya dengan pengkajian yang telah sedia ada. Beliau menegaskan
bahawa istilah menyalin sebenarnya adalah lebih tepat, iaitu para
penutur bahasa A mempunyai ciri salinan kata yang diambil daripada bahasa B untuk dijadikan
sebagai hak milik dalam bahasa mereka sendiri.
Pada dasarnya, kajian pengaruh KKA termasuk dalam bidang hubungan bahasa
(Thomason, 2001). Pertembungan kebudayaan secara harmoni atau sebagai pertembungan
kebudayaan melalui penjajahan menyebabkan kedua-dua peristiwa itu meninggalkan kesan
terhadap bahasa sebagai alat pemikiran dan perhubungan masyarakat. Hubungan bahasa dianggap
oleh sesetengah ahli antropologi sebagai satu aspek hubungan budaya, manakala pengaruh KKA
pula sebagai contoh penyebaran budaya. Oleh hal yang demikian, peminjaman sesuatu kata itu
juga berkait rapat dengan penyebaran kebudayaan dan perkara ini diterima oleh kebanyakan ahli
bahasa dalam bidang linguistik seperti Sapir dan Haugen.
Whitney (1881) menerusi kajiannya yang bertajuk On Mixture in Language menyatakan
bahawa penerimaan terhadap kosa yang diambil daripada bahasa sumber memainkan peranan
yang penting untuk memastikan tahap penerimaan terhadap sesuatu kata asing. Penerimaan yang
baik terhadap pengaruh KKA dalam sesebuah masyarakat menunjukkan bahawa pengaruh asing
itu menjadi suatu keperluan terutamanya untuk memanggil benda-benda baharu dalam sesebuah
masyarakat.
Selain itu, Sapir (1921) menerusi bukunya yang berjudul Language menyatakan bahawa
apa jua taraf atau sifat hubungan antara kumpulan budaya lazimnya sudah mampu untuk
membawa kepada keadaan yang saling mempengaruhi antara bahasa. Oleh itu, masyarakat pada
masa ini ini sememangnya begitu terdedah kepada budaya asing terutamanya dalam kepesatan
sains dan teknologi di samping perkembangan ekonomi global. Hal ini sedikit sebanyak telah
mempengaruhi persepsi golongan pelajar terhadap KKA dalam bahasa Melayu.
Sementara itu, Haugen (1950) menerusi bukunya yang berjudul The Analysis of Linguistic
Borrowing mendefinisikan pinjaman kata sebagai penyebaran bahasa. Beliau turut menyatakan
bahawa the attempted reproduction in one language of patterns previously found in another yang
bermaksud terdapatnya keperluan untuk berlakunya perubahan terhadap kosa kata dalam sesebuah
bahasa kepada bentuk yang baharu kesan penyebaran bahasa yang semakin meluas. Dalam
konteks pendidikan di sekolah-sekolah, ilmu yang diajarkan kepada murid-murid itu tetap sama.
Namun begitu, adakah wujud keperluan menyampaikannya dalam bahasa Melayu yang dipenuhi
dengan pengaruh KKA atau kekal dengan bahasa Melayu asli seperti sediakala?
Di samping itu, Bloomfield (1933) menerusi bukunya yang berjudul Language telah
membahagikan bidang kosa kata pinjaman kepada beberapa kumpulan, iaitu budaya, keintiman,
dan pinjaman dialek. Beliau sependapat dengan Sapir (1921) dengan menyatakan bahawa unsur
budaya yang saling berhubungan menyebabkan kosa kata dalam sesebuah bahasa saling
mempengaruhi walaupun sempadan politik dan geografinya berbeza. Beliau juga ada menyatakan
perihal konsep keintiman, iaitu apabila kedua-dua bahasa yang terlibat digunakan dalam domain
politik yang sama. Hubungan intim ini menyebabkan timbulnya ciri saling mempengaruhi,
manakala bahasa yang lebih berprestij akan lebih mempengaruhi. Oleh itu, persepsi para pelajar
142

