Page 176 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 176
IMPLIKASI
Kajian ini secara langsung mengukuhkan pandangan Khairul Azhar Mat Daud et. al
(2015) yang menunjukkan apabila tiga sub-konstruk kesediaan pembelajaran terarah kendiri
adalah tinggi maka tahap kesediaan pembelajaran terarah kendiri turut menjadi tinggi. Kajian
ini juga memberikan gambaran semasa tentang tahap kesediaan pembelajaran terarah kendiri
pelajar sebuah kolej matrikulasi walaupun terdapat kajian yang menunjukkan pelajar di
Malaysia kurang berjaya melaksanakan pembelajaran terarah kendiri dan tahap pembelajaran
terarah kendiri dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia masih kurang memuaskan. Secara
praktis, kajian ini memberi implikasi kepada amalan pengajaran di kolej matrikulasi dengan
menggalakkan pembelajaran terarah kendiri dalam kalangan pelajar melalui penekanan yang
lebih kepada pendekatan andragogi berbanding pendekatan pedagogi. Sementara itu, amalan
reka bentuk kurikulum program matrikulasi perlu disesuaikan dengan pendekatan andragogi
bagi meningkatkan pembelajaran terarah kendiri dalam kalangan pelajar. Dalam
meningkatkan pembelajaran terarah kendiri, beberapa strategi boleh digunakan. Antaranya,
membina persekitaran yang menyokong pembelajaran terarah kendiri, menyediakan maklum
balas konstruktif terhadap pembelajaran, menyediakan peluang kepada pelajar untuk terlibat
dalam proses pembelajaran secara terarah kendiri dan membangunkan matlamat
berorientasikan nilai serta membangunkan kemudahan pembelajaran berasaskan mobile
learning.
CADANGAN
Kajian ini hanya melibatkan pelajar Jurusan Sains dan Perakaunan Sesi Pengajian
2017/2018 di sebuah kolej matrikulasi. Bagi kajian lanjutan dicadangkan agar melibatkan
semua pelajar kolej matrikulasi di Malaysia agar pola tahap kesediaan pembelajaran terarah
kendiri pelajar program matrikulasi dapat dirumuskan. Kajian ini hanya melibatkan analisis
statistik deskriptif dengan pensampelan sukarela. Oleh itu, generalisasi dapatan kajian ini ke
atas populasi perlu dibuat secara berhati-hati. Sehubungan dengan itu, untuk kajian lanjutan
dicadangkan agar penyelidikan baharu menggunakan analisis data inferensi dan teknik
pensampelan rawak mudah.
KESIMPULAN
Kajian ini telah menganalisis secara deskriptif tahap kesediaan pembelajaran terarah
kendiri dan sub-konstruknya. Hasil kajian menunjukkan tahap kesediaan pembelajaran terarah
kendiri responden kajian adalah tinggi. Dapatan kajian ini mencadangkan agar tumpuan
diberikan kepada pendekatan andragogi dalam pelaksanaan kurikulum di kolej matrikulasi
yang dikaji untuk menggalakkan pembelajaran terarah kendiri dalam kalangan pelajar dan
usaha-usaha membangunkan strategi untuk meningkatkan pembelajaran terarah kendiri turut
disarankan. Kajian ini telah menghasilkan rumusan bahawa untuk meningkatkan tahap
kesediaan pembelajaran terarah kendiri, elemen-elemen seperti pengurusan kendiri, keazaman
untuk belajar secara terarah kendiri dan kawalan kendiri terlebih dahulu perlu ditingkatkan.
166

