Page 175 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 175
Jadual 4
Nilai Min dan Sisihan Piawai Tiga Sub-Konstruk Kesediaan Pembelajaran Terarah Kendiri
Pelajar Kolej Matrikulasi
Sub-Konstruk Min SD Tahap
Pengurusan Kendiri 4.03 .62 Tinggi
Keazaman untuk Belajar Secara Terarah 3.81 .63 Tinggi
Kendiri
Kawalan Kendiri 3.54 .76 Tinggi
Kesediaan Pembelajaran Terarah Kendiri 3.79 .55 Tinggi
Nota : n = 309; SD = Standard deviation (sisihan piawai)
PERBINCANGAN
Kajian ini untuk menilai tahap kesediaan pembelajaran terarah kendiri pelajar sebuah
kolej matrikulasi berdasarkan tiga sub-konstruk yang terdiri daripada pengurusan kendiri,
keazaman untuk belajar secara terarah kendiri dan kawalan kendiri. Seterusnya menilai tahap
kesediaan pembelajaran terarah kendiri pelajar. Bagi meneliti sub-konstruk kesediaan
pembelajaran terarah kendiri, analisis skor min dan sisihan piawai dilakukan dengan
pentafsiran tahap adalah berdasarkan cadangan Klunklin, Visekul, Sripusanapan dan Turale
(2010) dengan skor min antara 4.50 – 5.00 dianggap tahap tertinggi, 3.50 – 4.49 (tahap tinggi),
2.50 – 3.49 (tahap sederhana), 1.50 – 2.49 (tahap rendah) dan 1.00 – 1.49 merupakan tahap
terendah.
Berdasarkan skor min yang dicadangkan oleh Klunklin et al. (2010), tahap pengurusan
kendiri pelajar adalah tinggi. Menurut Guglielmino (1977) tahap pengurusan kendiri yang
tinggi menunjukkan pelajar dapat menguruskan masa dengan baik, mempunyai disiplin yang
tinggi dan teratur, mempunyai jadual waktu yang ketat, berkemahiran dalam pengurusan dan
sistematik dalam pembelajaran. Tahap keazaman untuk belajar secara terarah kendiri yang
tinggi memberi gambaran kesediaan pelajar untuk mempelajari sesuatu yang baru, gemarkan
cabaran, kritikal dalam menilai idea-idea yang baru dan suka mendapatkan maklumat yang
sahih sebelum membuat keputusan. Tahap kawalan kendiri yang tinggi menunjukkan pelajar
gemar membuat keputusan secara bersendirian dan bertanggungjawab untuk setiap keputusan,
mempunyai tahap peribadi yang baik, berautoriti dalam menentukan matlamat pembelajaran,
sentiasa menilai pencapaian diri dan lebih bersikap logikal. Sebagaimana cadangan Khairul
Azhar Mat Daud et. al (2015) apabila tahap tiga sub-konstruk adalah tinggi maka tahap
kesediaan pembelajaran terarah kendiri turut tinggi seperti dapatan kajian.
Dapatan kajian ini tidak konsisten dengan kajian terhadap pelajar kejururawatan di
Thailand, (Klunklin et al., 2010), pelajar dari kumpulan kursus Perguruan Lepasan Ijazah
(KPLI), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dan Program Persediaan Ijazah Sarjana
Muda Perguruan (Kok Boon Shiong et al., 2009), guru pelatih Opsyen Sains di Institut
Pendidikan Guru (Mai Shihah Abdullah & Norman Mat Nor, 2014) yang mempunyai tahap
kesediaan pembelajaran terarah kendiri yang sederhana. Dapatan yang berbeza boleh berpunca
daripada sampel yang berbeza dari aspek persekitaran dan proses pembelajaran di samping
terdapat perbezaan sub-konstruk kesediaan pembelajaran terarah kendiri yang dikaji. Namun
kajian ini selari dan menyokong kajian melibatkan murid sekolah menengah harian di Negeri
Sembilan (Maimunah Kari & Rosseni Din, 2007), pelajar ijazah pertama bidang
kejururawatan Universiti Sains Perubatan di Tehran, Iran (Addis Adera Gebru et al., 2015),
pelajar kejururawatan di Peshawar, Pakistan (Afsha Badshah Said et al., 2015) dan pelajar
tahun pertama ijazah pertama bidang perubatan di Nepal (Gyawali et al., 2011) yang
menunjukkan tahap kesediaan pembelajaran terarah kendiri yang tinggi.
165

