Page 171 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 171
kejururawatan di Peshawar, Pakistan menunjukkan tahap yang mencukupi untuk
melaksanakan pembelajaran terarah kendiri. Sementara itu, kajian Gyawali et al. (2011)
melibatkan pelajar tahun pertama ijazah pertama bidang perubatan di Nepal mendapati pelajar
mempunyai tahap kesediaan pembelajaran terarah kendiri yang tinggi.
Menurut Gueglielmino (1977), kesediaan pembelajaran terarah kendiri merupakan
tahap kesedaran pelajar terhadap kemampuan serta potensi diri sendiri dalam mengarah diri
mereka untuk belajar. Kesediaan pembelajaran terarah kendiri adalah bergantung kepada
pengurusan kendiri pelajar, keazaman untuk belajar secara terarah kendiri serta kawalan
kendiri. Selain itu, pelajar juga perlu berkemampuan untuk melihat potensi diri serta berupaya
menilai aspek-aspek dalam pembelajaran kendiri. Bagi tujuan kajian, data mengenai kesediaan
pembelajaran terarah kendiri berdasarkan kepada tiga subkonstruk kesediaan pembelajaran
terarah kendiri iaitu pengurusan kendiri, keazaman untuk belajar secara terarah kendiri dan
kawalan kendiri.
Dalam analisis data, Guegleilmino (1977) memutuskan bahawa apabila Self Directed
Learning Readiness Scale ditadbirkan, skor semua subkonstruk harus dikira sebagai satu skor
keseluruhan berbanding mencari skor bagi setiap subkonstruk. Beliau juga merumuskan
bahawa kebolehpercayaan item yang mengukur setiap subkonstruk adalah rendah. Tambahan
lagi, nilai kebolehpercayaan item yang mengukur setiap subkonstruk cenderung untuk berubah
mengikut sampel dan dengan itu, ia tidak boleh mewakili sampel-sampel yang lain. Namun
begitu, kajian Khairul Azhar Mat Daud, Nik Zulkarnaen Khidzir dan Hasyamuddin Othman
(2015) melibatkan pelajar politeknik mendapati nilai alpha bagi item-item yang mengukur
konstruk pengurusan kendiri pada 0.88, konstruk keazaman untuk belajar secara terarah
kendiri (0.86) dan konstruk kawalan kendiri (0.85). Kajian juga mendapati skor tiga
subkonstruk secara langsung mempengaruhi skor konstruk kesediaan pembelajaran terarah
kendiri (Khairul Azhar Mat Daud et al., 2015) Sehubungan dengan itu, kajian ini akan
mengaplikasikan pandangan Guegleilmino (1977) dan dapatan kajian Khairul Azhar Mat
Daud et. al (2015) dalam menganalisis data deskriptif.
METODOLOGI
Kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan untuk menjelaskan tahap kesediaan
pembelajaran terarah kendiri dan sub-konstruknya dalam kalangan pelajar kolej matrikulasi
dan fenomenanya pada masa sekarang (Gay & Airasian, 2003). Kaedah tinjauan dianggap
sesuai digunakan kerana sampel berada dalam saiz populasi yang besar tetapi saiz sampel telah
ditentukan oleh penyelidik dan maklumat dapat dikumpulkan pada satu titik masa tertentu
(single point in time) (Creswell, 2012; Cohen, Manion & Morrison, 2011). Penggunaan kaedah
tinjauan juga merupakan cara terbaik bagi mengukur persepsi, sikap, kepercayaan, pendapat,
praktis dan orientasi untuk saiz populasi yang besar (Babbie, 2008; Creswell, 2012). Mengikut
Richey dan Klein (2007), kaedah tinjauan sering digunakan bagi kajian yang berkait dengan
pengujian teori, sekiranya ralat dapat dikawal, dapatan kajian boleh digeneralisasikan kepada
populasi (Miller, 2003).
Sampel kajian ini adalah seramai 309 orang daripada 1718 pelajar Program Satu Tahun
Jurusan Sains dan Perakaunan sesi pengajian 2017/2018 sebuah kolej matrikulasi. Bilangan
sampel mengambil kira ralat pensampelan 5% dan aras kebolehpercayaan 95% serta populasi
berjumlah antara 1000 hingga 2000 orang (Cohen et al., 2011). Kaedah pemilihan sampel
menggunakan teknik pensampelan sukarela (Prabjandee & Intachot, 2013). Email dengan
pautan borang soal selidik dihantar melalui medium telegram QS015 dan AE015 untuk
dijawab secara atas talian (online) dan data disimpan secara elektronik. Teknik pensampelan
ini dipilih kerana ia lebih mudah, cepat dan menjimatkan kos di samping faktor
kebolehsampaian yang tinggi (Prabjandee & Intachot, 2013).
161

