Page 35 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 35
Hubungan Peranan Pentadbir Dan Efikasi Kendiri Guru Dalam Pelaksanaan
Pembelajaran Abad Ke-21 Sekolah Rendah Di Sabah
1
2
Shanti Gobalakrishnan , Prof. Madya Dr Abdul Said Ambotang
1 SK. Kuala Apas, Tawau, Universiti Malaysia Sabah
2
1 shantikathiravan@gmail.com, said@ums.edu.my
2
Abstrak
Dalam menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia, Malaysia perlu membawa suatu perubahan
yang akan memberi kesan kepada dunia pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) telah melaksanakan kajian semula terhadap sistem pendidikan negara dalam konteks
standard pendidikan antarabangsa. Hasil daripada kajian tersebut, Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah dilancarkan (KPM, 2013). Melalui PPPM
2013-2025 salah satu perancangan adalah memperkenalkan kemahiran pembelajaran abad
ke-21 dalam kalangan pelajar. Oleh demikian, kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti
hubungan peranan pentadbir dan efikasi kendiri guru dengan pelaksanaan pembelajaran abad
ke-21 di sekolah rendah. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dalam menentukan
perhubungan antara kesemua pemboleh ubah tidak bersandar (peranan pentadbir dan efikasi
kendiri guru) dengan pemboleh ubah bersandar (pelaksanaan pembelajaran abad ke-21).
Sampel kajian ini telah diperoleh daripada guru-guru sekolah rendah kebangsaan di negeri
Sabah. Sebanyak 360 sampel telah diperoleh oleh penyelidik untuk diuji dalam kajian ini.
Setiap hipotesis telah diuji dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social
Sciences (SPSS) Versi 22.0. Dapatan kajian mendapati terdapat hubungan yang signifikan
pada tahap tinggi iaitu r = 0.788 di antara pemboleh ubah peranan pentadbir dengan
pelaksanaan pembelajaran abad ke-21, hubungan yang signifikan pada tahap tinggi r = 0.818
di antara pemboleh ubah efikasi kendiri guru dengan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21.
Kata kunci: Peranan Pentadbir, Efikasi kendiri Guru, Pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-
21
PENGENALAN
Pendidikan merupakan wadah utama bagi menjayakan pembangunan negara dan menjadi alat
penting dalam melahirkan sumber tenaga melalui agenda melahirkan modal insan minda kelas
pertama (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Lantaran itu KPM telah mengorak langkah
proaktif ke arah memartabatkan kualiti pendidikan di Malaysia hingga bertaraf dunia, di
samping menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan tamadun ilmu (Ali & Mohamed, 2019).
Dalam buku karya Friedman (2005) “The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First
Century” telah menyatakan bahawa pendidikan menjadi kunci utama dan memainkan peranan
yang penting kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia pada abad ke-21. Era millennium
hari ini mempamerkan persaingan yang hebat untuk mencapai kecemerlangan pendidikan di
peringkat globalisasi. Malaysia tidak ketinggalan untuk menunjukkan prestasi pendidikan yang
terbaik untuk dibawa dalam kedudukan persaingan dunia. Menteri Pendidikan Singapura
menyatakan bahawa individu yang lengkap dengan pembelajaran abad ke-21 merupakan
individu yang mempunyai keyakinan diri, mengamalkan pembelajaran kendiri, menyumbang
dengan aktif, dan merupakan warganegara yang prihatin (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2013). Di Finland, pembelajaran abad ke-21 berteraskan perkembangan kendiri, identiti
budaya, keantarabangsaan, kemahiran media dan komunikasi, warganegara partisipatif,
25

