Page 30 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 30
merangkumi perancangan pengajaran dan penetapan objektif pengajaran berada pada tahap
tinggi. Pembelajaran berpusatkan murid yang dijalankan oleh guru juga selaras dengan saranan
Kementerian Pendidikan Malaysia (2013) yang menjelaskan bahawa pembelajaran
berpaksikan KBAT melibatkan proses membuat keputusan serta mampu melahirkan murid
yang kompeten.
Selain itu, item yang mendapat skor min terendah ialah item menghasilkan bahan bantu
mengajar berasaskan KBAT. Dapatan ini menunjukkan guru Pendidikan Islam di sekolah
pedalaman kurang menghasilkan bahan bantu mengajar dalam pembelajaran. Perkara ini
seiring dengan dapatan kajian yang dikemukakan oleh Mohd Aderi (2014) bahawa amalan
pengajaran guru Pendidikan Islam kurang menggunakan bahan bantu mengajar dan hanya
memilih menggunakan buku teks. Strategi kemahiran berfikir perlu dipelbagaikan dan diberi
penekanan dalam amalan pengajaran di dalam bilik darjah bagi menjana impak pembelajaran
yang berkualiti.
Hasil kajian yang telah dijalankan juga menunjukkan terdapat hubungan positif yang
signifikan antara tahap pengetahuan dengan amalan penerapan KBAT dalam kalangan guru
Pendidikan Islam di sekolah rendah pedalaman Zon Utara Sabah pada tahap yang sederhana.
Dapatan ini adalah selaras dengan penemuan kajian terdahulu yang dijalankan oleh Abdullah
et al. (2017) bahawa tahap pengetahuan guru mempunyai hubungan yang signifikan dengan
amalan penerapan KBAT di dalam bilik darjah merangkumi aspek kurikulum, pedagogi dan
penilaian. Selari dengan pandangan Caroline dan Abdul Said (2014) yang menjelaskan bahawa
amalan pelaksanaan KBAT dalam proses pembelajaran akan menghadapi kesukaran sekiranya
guru tidak memiliki pengetahuan yang tinggi.
Secara umumnya, dapatan ini menunjukkan semakin meningkat tahap pengetahuan
guru terhadap KBAT, maka semakin meningkat amalan pengajaran yang menerapkan KBAT
di dalam bilik darjah. Sehubungan dengan itu, para guru perlu sentiasa berusaha untuk
meningkatkan pengetahuan berkenaan KBAT serta kerap melaksanakan proses pembelajaran
melibatkan KBAT. Walau bagaimanapun, bagi kajian ini, tahap kekuatan antara pengetahuan
guru dengan amalan penerapan KBAT hanyalah pada tahap sederhana iaitu 57.9%. Hal yang
demikian ini bermaksud terdapat faktor lain yang turut mempunyai hubungan dengan amalan
penerapan KBAT dalam kalangan guru Pendidikan Islam di sekolah rendah pedalaman Sabah.
KESIMPULAN
Kajian ini telah dapat mengenal pasti tahap pengetahuan dan amalan pelaksanaan kemahiran
berfikir aras tinggi dalam kalangan guru Pendidikan Islam di sekolah rendah pedalaman Zon
Utara Sabah. Walau bagaimanapun, masih wujud ruang penambahbaikan bagi para guru untuk
mengukuhkan lagi pelaksanaan KBAT dalam pembelajaran. Dapatan kajian ini boleh
digunakan oleh pihak berwajib seperti Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri
dan Kementerian Pendidikan untuk menilai pelaksanaan dan keberkesanan dasar serta program
kementerian yang telah diimplementasikan. Penemuan ini seterusnya membolehkan pihak
berwajib untuk memberikan lebih pendedahan serta inisiatif kepada para guru dalam
mengembangkan lagi pelaksanaan KBAT di dalam bilik darjah seperti kursus, bengkel, bahan
edaran serta bekalan sumber pengajaran. Pendekatan dan usaha murni seperti ini akan mampu
meningkatkan motivasi dan semangat guru untuk menyahut aspirasi kementerian dalam
melaksanakan KBAT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kajian ini hanya melibatkan sebuah zon di negeri Sabah. Oleh itu, hasil kajian tidak
dapat digeneralisasikan kepada semua guru di negeri Sabah. Responden kajian juga hanya
melibatkan guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah pedalaman sahaja. Kajian ini juga
berbentuk kuantitatif dan melibatkan penggunaan soal selidik sebagai instrumen. Penyelidik
20

