Page 57 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 57
Ke Arah Amalan Pedagogi Inklusif
Professor Dr. Lee Lay Wah , Ang Chai Tin, PhD
2
1
1 Universiti Sains Malaysia, IPG Kampus Darulaman
2
1 lwah@usm.my, angct@ipda.edu.my
2
Abstrak
Pendidikan inklusif dalam sistem pendidikan Malaysia telah dapat dilaksanakan melalui Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia
telah mula menerima pakai pedagogi inklusif sebagai satu kaedah untuk menjayakan matlamat
pendidikan inklusif. Namun begitu, masih terdapat ramai guru yang tidak memahami maksud
pedagogi inklusif dan isu ini perlu diatasi dengan segera. Artikel ini bertujuan untuk mengupas
konsep dan amalan pedagogi inklusif supaya guru arus perdana dan guru pendidikan khas
dapat melaksanakan pendekatan pedagogi inklusif dengan berkesan di dalam bilik darjah
untuk semua kanak-kanak. Definisi, andaian serta konsep pedagogi inklusif dijelaskan.
Penjelasan ini diikuti dengan perbincangan kritis mengenai amalan pedagogi inklusif.
Perbincangan juga membezakan konsep pedagogi terasing, pedagogi gabungan serta
pedagogi inklusif. Seterusnya, pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan oleh semua guru
untuk mengamalkan pedagogi inklusif di dalam bilik darjah dijelaskan. Sekiranya semua pihak
yang berkepentingan bersedia untuk mengamalkan pedagogi inklusif, murid berkeperluan khas
akan mendapat manfaat daripada pengajaran di dalam kelas inklusif.
Kata kunci: pedagogi inklusif, pendidikan inklusif, guru arus perdana, guru pendidikan khas,
murid berkeperluan khas
PENGENALAN
Sungguhpun telah melebihi dua dekad Malaysia menandatangani Penyata Salamanca
(UNESCO, 1994) yang memperjuangkan pendidikan inklusif untuk semua kanak-kanak,
desakan yang lebih serius ke arah pendidikan inklusif hanya bermula pada tahun 2013. Perkara
ini dapat dilihat dengan wujudnya penetapan sasaran yang spesifik dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013), dan
berlakunya penggubalan Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 (Warta Kerajaan
Persekutuan, 2013) bertujuan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang inklusif. Penetapan
sasaran ini memperlihatkan hasrat kerajaan untuk menambahkan peratusan murid yang
menerima pendidikan inklusif daripada 8% kepada 30% pada tahun 2015, dan seterusnya
mencapai 75% menjelang tahun 2025. Rentetan daripada penetapan ini, perlaksanaan
pendidikan inklusif dalam sistem pendidikan Malaysia telah menjadi satu kenyataan. Salah satu
elemen penting perlaksanaan pendidikan inklusif ialah amalan pedagogi inklusif dalam
kalangan kedua-dua pihak guru pendidikan khas serta guru arus perdana.
Selaras dengan tuntutan polisi pendidikan semasa, Kementerian Pendidikan Malaysia
berusaha mempraktikkan pedagogi inklusif ini sebagai satu kaedah untuk memberi respon
kepada amalan pendidikan inklusif. Oleh itu, semua guru sama ada guru arus perdana mahupun
guru pendidikan khas seharusnya mempunyai pengetahuan tentang pedagogi inklusif dan
berkemahiran untuk melaksanakan pedagogi inklusif di dalam bilik darjah. Ini adalah sebab
kejayaan pedagogi inklusif bergantung kepada kolaboratif dengan semua pihak. Oleh hal yang
demikian, penjelasan yang tepat tentang konsep pedagogi inklusif perlu disampaikan kepada
semua guru di Malaysia. Amalan pedagogi inklusif telah mula didedahkan kepada semua guru
47

