Page 61 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 61
Aktiviti kelas melibatkan aktiviti kerja berkumpulan dan dirancang bukan hanya untuk
pembelajaran isi kandungan, tetapi juga untuk perkembangan kemahiran sosial dan
komunikasi.
b) Proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara fleksibel, iaitu dengan
menggunakan pelbagai cara persembahan.
c) Sokongan (scaffolding) yang progresif diaplikasi di dalam aktiviti kelas.
d) Aktiviti kelas bersifat autentik.
e) Wujud komuniti pedagogik, iaitu terdapat jaringan atau pasukan sumber manusia untuk
menyokong guru dalam amalan pedagogi terbaik dalam kelas.
Amalan pedagogi inklusif adalah berasaskan prinsip perbezaan individu. Oleh itu,
pendekatan ini tidak bersetuju bahawa murid berkeperluan khas perlu dilabel bagi tujuan
mendapatkan perkhidmatan pakar dan sumber sokongan (Florian & Black-Hawkins, 2011).
Pernyataan ini menunjukkan bahawa proses pengajaran guru perlu mengambil kira keperluan
pembelajaran semua murid di dalam kelasnya. Pedagogi inklusif tidak menolak sokongan
tambahan yang diberikan oleh guru pendidikan khas, ahli terapi, mahupun pembantu murid.
Sebaliknya, pendekatan pedagogi inklusif beranggapan bahawa sumber manusia dan sokongan
tambahan tersebut mungkin diperlukan sebagai sebahagian daripada perancangan guru untuk
memberi respon kepada keperluan perbezaan individu yang wujud dalam kelasnya. Sokongan
tambahan ini penting sekiranya sokongan tersebut membolehkan semua murid dapat terlibat di
dalam aktiviti pembelajaran. Kejayaan melaksanakan pedagogi inklusif bakal memperlihatkan
sokongan dan sumber tambahan ini tidak hanya diberikan kepada murid berkeperluan khas
sahaja, tetapi juga berfungsi sebagai sokongan (scaffolding) tambahan untuk membantu proses
pembelajaran murid-murid lain di dalam kelas. Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa
keutamaan pedagogi inklusif adalah bermatlamatkan perancangan guru untuk melibatkan
semua murid, dan bukannya kepada sokongan tambahan.
Dari segi akauntabiliti perguruan pula, guru seharusnya bertanggungjawab kepada
setiap murid, termasuk murid berkeperluan khas yang hadir dalam kelas inklusif. Guru kelas
haruslah melihat masalah pembelajaran murid sebagai dilema guru sendiri dan bukannya
sebagai kekurangan murid berkenaan (Florian & Spratt, 2013). Oleh itu, guru arus perdana
perlulah bekerjasama dengan guru pendidikan khas bagi mewujudkan pengalaman
pembelajaran bermakna untuk semua murid di dalam komuniti kelasnya.
Sebagai rumusan, terdapat tiga jenis pedagogi yang telah dan sedang diaplikasikan yang
melibatkan murid-murid berkeperluan khas. Bermula dengan pedagogi terasing, kemudian
pedagogi gabungan di dalam kelas inklusif dan seterusnya pedagogi inklusif. Dengan adanya
pendekatan pedagogi inklusif ini, kecenderungan untuk melabel dan mengasingkan murid
dapat dikurangkan (Florian & Black-Hawkins, 2011).
PERSEDIAAN KE ARAH PEDAGOGI INKLUSIF
Sehingga hari ini, pendekatan pedagogi terasing masih merupakan pilihan utama di Malaysia
memandangkan masih ramai murid berkeperluan khas ditempatkan di kelas khas di sekolah
arus perdana, dan kelas tersebut hanya diajar oleh guru pendidikan khas sahaja. Akibat daripada
desakan masyarakat untuk menginklusifkan murid berkeperluan khas dalam persekitaran biasa,
pendekatan pedagogi lain mula diusahakan untuk memenuhi tuntutan semasa. Persoalannya,
adakah guru-guru pada hari ini mampu beralih daripada mengamalkan pedagogi terasing
kepada pedagogi inklusif? Adakah guru secara psikologinya telah bersedia untuk menguasai
pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi transformasi ini? Walaupun kerajaan telah
berusaha untuk melaksanakan pedagogi gabungan, namun perlaksanaannya masih terbantut
dan kurang berjaya (Bailey et al., 2014; Lee & Low, 2014). Oleh itu, dengan berbekalkan
51

