Page 58 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 58
dalam perkhidmatan. Pedagogi inklusif juga telah dijadikan sebagai salah satu topik dalam
kurikulum kursus pendidikan inklusif di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Kursus
pendidikan inklusif di IPGM wajib diambil oleh semua guru pelatih iaitu termasuk guru pelatih
arus perdana dan juga guru pelatih pendidikan khas.
DEFINISI PEDAGOGI INKLUSIF
Perkataan pedagogi merujuk kepada pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh
seseorang guru untuk membuat keputusan semasa melaksanakan praktik mereka (Alexander,
2004). Mengikut Cambridge Academic Content Dictionary (2017), inklusif membawa maksud
bahawa semua orang, benda ataupun pelbagai idea yang diambil kira, dan tidak diasingkan
berdasarkan perbezaan individu. Maka, secara ringkasnya, pedagogi inklusif boleh diterjemah
sebagai satu kaedah dan prinsip pengajaran yang mengambil kira semua murid termasuk murid
berkeperluan khas sebagai ahli komuniti kelas. Walaupun penterjemahan ini kelihatan ringkas,
tetapi konsep pedagogi inklusif ini membawa makna yang mendalam dan akan dikupas secara
terperinci dalam artikel ini.
Mengikut Florian (2015), pedagogi inklusif merupakan pendekatan pedagogi alternatif
yang berpotensi untuk mengurangkan ketidaksamaan dalam pendidikan dengan
memperkembangkan peluang pendidikan arus perdana untuk semua. Fokus pedagogi inklusif
adalah untuk memperbaiki kualiti pengajaran-pembelajaran di dalam kelas supaya pencapaian
akademik untuk semua murid, termasuk murid berkeperluan khas menjadi lebih baik. Florian
dan Beacon (2018) mendefinisikan pedagogi inklusif sebagai satu pendekatan pedagogi yang
merespon kepada perbezaan individu murid, dalam masa yang sama dapat mengelakkan
peminggiran murid yang mungkin berlaku jika strategi pembezaan hanya digunapakai untuk
murid berkeperluan khas.
Andaian Pedagogi Inklusif
Definisi pedagogi inklusif adalah berasaskan andaian-andaian tertentu tentang hak asasi murid
untuk belajar serta profesionalisme guru. Beberapa pemikiran awal telah mencetuskan idea
pendekatan pedagogi inklusif. Contohnya, Hart et al., (2004) telah mengemukakan prinsip
bahawa keupayaan untuk belajar seseorang murid adalah bersifat anjal dan guru berupaya
untuk mengubah kapasiti murid untuk belajar. Lewis dan Norwish (2005) pula menghujahkan
bahawa walaupun terdapat perkhidmatan spesifik tertentu untuk murid buta dan murid pekak,
tetapi masih tiada bukti yang kukuh untuk menyokong keberkesanan pedagogi khas untuk
murid berkeperluan khas. Berasaskan kepada pemikiran awal ini, Florian dan Black-Hawkins
(2011) telah mengkaji tentang pendekatan pedagogi inklusif dan mereka telah merumuskan
tiga andaian untuk menyokong pendekatan pedagogi inklusif.
Mengikut Florian dan Black-Hawkins (2011) tiga andaian untuk menyokong pedagogi inklusif,
ialah:
1. Pembelajaran ialah hak milik semua
Peluang pembelajaran perlu disediakan secara adil untuk semua orang. Keperluan ini tidak
seharusnya diasingkan mengikut kategori murid, sama ada murid yang memerlukan keperluan
tambahan (beberapa murid) mahupun murid yang tidak memerlukan keperluan tambahan
(hampir kesemua murid).
2. Keupayaan seseorang murid tidak terhad dan sentiasa berubah.
48

