Page 62 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 62

sumber  sedia  ada,  mampukah  warga  pendidik  bekerjasama  untuk  menjayakan  pedagogi
               inklusif?
                       Kajian Bailey et al. (2014) mendapati bahawa guru-guru arus perdana pada hari ini
               masih berpegang kepada kepercayaan bahawa mereka belum bersedia untuk menerima dan
               mengajar  murid  berkeperluan  khas  di  dalam  kelasnya.  Guru-guru  masih  menunjukkan
               keraguan untuk menerima kehadiran murid berkeperluan khas di dalam kelas mereka. Namun
               begitu, kajian oleh Lee dan Low (2013) menunjukkan bahawa fenomena tersebut adalah tidak
               benar. Guru arus perdana dikatakan berupaya untuk menyusun atur pengajaran mereka bagi
               membolehkan penglibatan murid berkeperluan khas di dalam aktiviti kelas.  Dalam hal ini,
               semua murid didapati boleh melibatkan diri dengan aktiviti yang disediakan oleh guru. Hal Ini
               menunjukkan  bahawa  guru-guru  tanpa  disedari  (unconscious  inclusion)  telah  berjaya
               melaksanakan pedagogi  inklusif (Lee & Low, 2013). Kejayaan para guru menginklusifkan
               murid  berkeperluan  khas  adalah  disebabkan  para  guru  berpendapat  bahawa  mereka  perlu
               bertanggungjawab terhadap semua murid yang ditempatkan di dalam kelas. Bukan itu sahaja,
               guru-guru  tersebut  juga  didapati  mampu  dan  sentiasa  berusaha  untuk  mengendalikan
               pengajaran  dan  pembelajaran  dalam  suasana  inklusif.  Kepercayaan  dan  amalan  yang
               ditunjukkan  oleh  guru-guru  tersebut  ternyata  selaras  dengan  tiga  prinsip  utama  pedagogi
               inklusif yang dikemukakan oleh Florian dan Spratt (2013), iaitu secara psikologinya bersedia
               untuk  menerima  murid  berkeperluan  khas  sebagai  ahli  kelas,  bersedia  bertanggungjawab
               terhadap semua murid di dalam kelasnya, dan berikhtiar untuk mencari jalan bagi melibatkan
               murid  dalam  proses  pengajaran  dan  pembelajaran.  Kajian  Lee  dan  Low  (2013)  ini  secara
               eksplisitnya menunjukkan bahawa pedagogi inklusif mampu dilaksanakan oleh para guru pada
               hari ini dengan syarat mereka mempunyai sifat-sifat seperti yang disebutkan dalam ketiga-tiga
               prinsip pedagogi inklusif berkenaan.
                       Rouse (2008) pernah mengatakan bahawa apa yang guru ‘buat’, ‘tahu’ dan ‘percaya’
               terhadap  aktiviti  seharian  di  dalam  kelas  inklusif  adalah  saling  berkaitan.  Sekiranya  guru
               percaya bahawa mereka bertanggungjawab terhadap pendidikan murid berkeperluan khas yang
               berada di dalam kelas mereka, dan melibatkan semua murid dalam aktiviti pembelajaran, maka
               pengetahuan guru terhadap amalan pedagogi inklusif akan meningkat.  Walau bagaimanapun,
               tidak juga dapat dinafikan bahawa sokongan tambahan dari segi sumber manusia serta sumber
               lain masih juga diperlukan untuk menjayakan pedagogi inklusif.  Kajian Lee dan Low (2013)
               menunjukkan bahawa dalam melaksanakan pedagogi inklusif, guru-guru sekolah rendah amat
               memerlukan sokongan tambahan memandangkan bebanan kerja mereka semakin meningkat.
               Sokongan  tambahan  ini  boleh  diwujudkan  dengan  adanya  kolaboratif  dengan  pasukan
               professional lain, seperti guru pendidikan khas, ahli terapi perkhidmatan berkaitan, ibu bapa,
               serta  ahli  dari  organisasi  khas  bagi  mendapatkan  idea,  membuat  perancangan  dan
               mengimplementasikan pelan tindakan secara bersama.
                       Semasa ahli-ahli penyelidik daripada United Kingdom sedang membuat kajian tentang
               pedagogi inklusif di dalam persekitaran kelas inklusif, sekumpulan penyelidik dari Amerika
               Syarikat telah menyarankan konsep kolaboratif sebagai sokongan mewujudkan persekitaran
               inklusif.  Konsep  kolaboratif  yang  disarankan  ialah  melibatkan  kerjasama  ahli  profesional,
               terutamanya guru pendidikan khas dan guru arus perdana dalam mengendalikan pengajaran
               dan pembelajaran kelas inklusif (Friend & Bursuck, 2012). Konsep alternatif ini menggantikan
               kaedah tradisional, iaitu proses pengajaran dan pembelajaran kelas hanya dikendalikan oleh
               seseorang  guru  pada  satu-satu  masa.  Sungguhpun  cadangan  ini  berpotensi  menggerakkan
               amalan pedagogi inklusif, namun kaedah kolaboratif ini masih amat kurang dipraktikkan di
               Malaysia. Malahan, Jelas (2000) telah mendapati bahawa guru pendidikan khas dan guru arus
               perdana di Malaysia melihat peranan dan tanggungjawab mereka sebagai berasingan. Perkara
               ini  menyebabkan  kaedah  kolaboratif  sebagai  pelengkap  kepada  pendidikan  inklusif  masih
               belum dapat diterima oleh kebanyakan guru hari ini. Oleh itu, guru perlu mempunyai anjakan
                                                           52
   57   58   59   60   61   62   63   64   65   66   67