Page 63 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 63

minda dalam menjadikan kaedah kolaboratif sebagai satu strategi pendidikan inklusif berkesan
               bagi  mencapai  sasaran  yang  ditetapkan  oleh  kerajaan  (Kementerian  Pendidikan  Malaysia,
               2013). Untuk merealisasikan hasrat ini, satu perkongsian intelek tentang pedagogi inklusif di
               antara guru arus perdana dan guru pendidikan khas perlu diwujudkan. Namun begitu, tidak
               dapat  dinafikan  bahawa  adalah  sangat  rumit  untuk  memperkenalkan  sesuatu  pendekatan
               pengajaran baru ke dalam sistem yang telah lama wujud, terutamanya apabila pendekatan baru
               ini perlu melibatkan transformasi peranan dan tanggungjawab guru yang sebelum ini bersifat
               individualistik  (amalan  pedagogi  terasing)  kepada  yang  lebih  bersifat  kolektif  (amalan
               pedagogi  inklusif).  Bagi  sesetengah  pihak,  membuat  perubahan  mungkin  sangat  sukar
               terutamanya apabila tanggapan lama itu telah sebati dengan amalan kehidupan seharian, namun
               hal  ini  tidak  bermakna  bahawa  transformasi  yang  ingin  dilakukan  tidak  akan  menjadi
               kenyataan  sekiranya  guru-guru  dibekalkan  dengan  pengetahuan  dan  kemahiran  untuk
               melaksanakan pedagogi inklusif.

                           PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN PEDAGOGI INKLUSIF

               Semua guru, sama ada guru arus perdana ataupun guru pendidikan khas perlu mempunyai
               pengetahuan  dan  kemahiran  pedagogi  asas.  Dalam  aspek  ini,  Lee  (2014a)  telah  memberi
               penjelasan  lanjut  tentang  empat  bidang  kemahiran  pedagogi  asas  yang  diperlukan  untuk
               mengajar  semua  murid  termasuk  murid  berkeperluan  khas,  iaitu    (i)  kurikulum  dan  isi
               kandungan  mata  pelajaran  yang  hendak  diajar  (ii)  model  pengajaran-pembelajaran  yang
               berasaskan teori pembelajaran (iii) strategi dan teknik pengajaran yang telah terbukti berkesan
               (iv) pengurusan elemen sokongan dalam pembelajaran, seperti pengurusan persekitaran kelas
               dan pengurusan sumber.  Selain itu, guru juga perlu berkemahiran untuk (v) membezakan
               pengajaran, serta (vi) berkolaboratif dengan pihak yang berkepentingan. Akhirnya, semua guru
               juga perlu mempunyai (vii) pengetahuan yang spesifik mengenai ciri-ciri murid berkeperluan
               khas.
               (i) Kurikulum dan isi kandungan mata pelajaran
               Menurut  Lee  (2014a),  kurikulum  untuk  semua  murid  perlu  merangkumi  kurikulum  mata
               pelajaran teras serta kurikulum kemahiran hidup (life skills curriculum). Kedua-dua kurikulum
               ini perlu dilaksanakan di dalam kelas inklusif.  Sebagai contoh, jika sebelum ini kemahiran
               sosiokomunikasi tidak diajar secara eksplisit, sebaliknya berlaku secara implisit di dalam kelas,
               tetapi  kini  dengan  pendekatan  pedagogi  inklusif,  guru  mungkin  perlu  merancang  dan
               mewujudkan peluang untuk  melatih kemahiran sosiokomunikasi  bagi  murid-murid  tertentu
               untuk meningkatkan kemahiran sosiokomunikasi mereka.
               (ii) Model pengajaran-pembelajaran yang berasaskan teori pembelajaran
               Seterusnya,  untuk  melaksanakan  pedagogi  inklusif,  guru  perlu  berpengetahuan  dan
               berkemahiran  mengendalikan  model  pengajaran-pembelajaran  yang  berasaskan  teori
               pembelajaran murid.  Model pengajaran pembelajaran daripada mazhab behaviorisme adalah
               bersifat terus (direct) dan merangkumi strategi tunjuk ajar serta latih tubi untuk membolehkan
               seseorang  menguasai  sesuatu  tingkah  laku  (Eggen  &  Kauchak,  2010).  Sementara  model
               daripada  mazhab  kognitif  pula  lebih  mementingkan  pemprosesan  maklumat  persekitaran
               melalui  ingatan  manusia  sehingga  pengetahuan  dibina  di  dalam  otak  (Eggen  &  Kauchak,
               2010). Model pengajaran-pembelajaran mazhab sosial pula menggunakan sinergi kolaboratif
               untuk  membina  pengetahuan  melalui  jalinan  hubungan  harmoni  antara  individu  dengan
               masyarakat (Eggen & Kauchak, 2010).
               (iii) Strategi dan teknik pengajaran
               Setiap model pengajaran perlu menggunakan strategi dan teknik tertentu untuk merancang dan
               melaksanakan pengajaran. Lee (2014a) telah mencadangkan beberapa strategi dan teknik yang
               boleh diguna pakai dalam pedagogi inklusif, seperti analisis tugasan, bimbingan dan dorongan
                                                           53
   58   59   60   61   62   63   64   65   66   67   68