Page 118 - JURNAL PENYELIDIKAN ILMU PENDIDIKAN 2021
P. 118
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 6 / 2 0 2 1 | 110
METODOLOGI
Pelaksanaan kajian ini adalah berdasarkan kajian kuantitatif dan berbentuk kuasi-
eksperimen. Earl (2013) telah mengatakan bahawa reka bentuk eksperimen
dilakukan bertujuan untuk penerokaan, penerangan dan deskriptif. Oleh itu, pemilihan
kajian kuasi-eksperimen ini dilakukan kerana bentuk kajian ini sesuai dan baik bagi
mengukur keberkesanan. Sebelum kajian dilaksanakan prosedur menggunakan
visual lakaran telah dijalankan terlebih dahulu bersama guru Sejarah yang akan
mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan visual lakaran
tersebut. Kajian ini dilakukan selama 6 minggu, kekerapan pelaksanaan sesi
pengajaran dan pembelajaran pula adalah sekali dalam seminggu. Setiap kali sesi
pengajaran dan pembelajaran, kumpulan kawalan diajar menggunakan pendekatan
konvensional, kumpulan rawatan pula menggunakan kaedah visual lakaran.
Kajian ini melibatkan salah sebuah sekolah menengah dalam Program
Transformasi Daerah (DTP) Meningkatkan Peratus Lulus SPM 2020 Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Daerah Kuala Langat, Selangor.
Program ini khusus untuk mata pelajaran Sejarah Tingkatan Lima selari dengan
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah. Sampel kajian
terdiri daripada 60 orang murid Tingkatan 5 dalam dua kelas sedia ada di salah
sebuah sekolah menengah tersebut. Sampel kajian ini melibatkan 30 orang murid bagi
kumpulan rawatan yang diajar menggunakan kaedah visual lakaran dan 30 orang
murid bagi kumpulan kawalan menggunakan kaedah konvensional. Kedua-dua
kumpulan sampel ini dipilih berdasarkan Take of Value (TOV) menunjukkan prestasi
kedua-dua kumpulan sampel adalah setara.
Set instrumen soalan melalui ujian pra dan ujian pasca telah dibina pengkaji
bersama Ketua Panitia Sejarah dan Ketua Bidang di sekolah kajian dijalankan. Set
instrumen soalan memfokuskan empat soalan struktur bahagian A Sejarah Kertas 2
(Kod 1249/2) yang mirip soalan SPM sebenar. Cakupan konteks berdasarkan
Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran dalam DSKP KSSM Sejarah.
Konstruk utama dalam Kertas 2 ialah mengingat selain memahami, mengaplikasi,
menganalisis, menilai dan mencipta. Cakupan tajuk meliputi Kemunculan Tamadun
Awal Manusia. Kajian ini memfokuskan kepada Ciri-ciri Tamadun Awal Manusia dan
Ciri-ciri Bandar Terancang Tamadun Indus. Di samping itu, tajuk Kesedaran
Pembinaan Negara dan Bangsa menumpukan Ciri-ciri Negara Bangsa dan Ciri-ciri
Raja dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor. Peruntukan markah bagi
pecahan soalan ini adalah 10 markah. Kumpulan kawalan dan rawatan akan diberikan
terlebih dahulu ujian pra sebelum sesi pengajaran menggunakan kaedah visual
lakaran bermula.

