Page 171 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 171
JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
JILID 6/2021
Guru juga didapati sering tidak menerima idea pelajar yang baharu dan tidak
dijangka (Beghetto, 2007). Kreativiti juga terhalang kerana guru lebih
menekankan kawalan bilik darjah dan pemerolehan kandungan berbanding
dengan keperluan psikologi, penyelesaian masalah dan kreativiti kanak-kanak.
Interaksi antara guru-kanak-kanak tadika yang menekankan disiplin dan
peraturan, menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk berfikir secara kreatif
atau mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah tanpa arahan. (Jingbo &
Elicker, 2005).
Selain itu, guru pendidikan awal kanak-kanak yang memberikan fokus
berterusan dalam akademik, akan kekurangan masa untuk menyediakan
persekitaran prasekolah yang boleh memupuk kemahiran kreatif mereka
(Feldman & Benjamin, 2006; Cameron, 2010; (Al Thani, 2010; Schacter et al.,
2006). Semua ini menyebabkan banyak potensi kreatif tidak diaplikasikan dan
dikembangkan di sekolah dan sebagai akibatnya kreativiti murid adalah dihalang.
Oleh itu guru prasekolah perlu menyediakan material untuk mencetuskan
imaginasi, sediakan peluang untuk kanak-kanak berimaginasi dan menerangkan
idea mereka. Guru prasekolah juga perlu menghargai keperibadian kanak-kanak
dan menggalakkan sudut pandangan mereka yang berbeza. Guru prasekolah juga
patut menggalakkan pelibatan kanak-kanak dalam permainan kreatif, harus
mengambil berat dan menghargai produk baharu kanak-kanak. Selain itu,
kreativiti kanak-kanak harus dihargai, dan kanak-kanak harus diberi keyakinan
(Zeynep, 2019).
Kesimpulannya, di sebalik guru mengakui menyukai kanak-kanak kreatif tetapi
pelajar-pelajar kreatif ini selalu ketinggalan atau dihukum disebabkan oleh
tingkah laku kreatif mereka. Ini bermakna, kanak-kanak yang kurang digemari
oleh guru mempunyai ciri-ciri tingkah laku kreatif. Sebaliknya, pelajar yang
disukai oleh guru mempunyai ciri-ciri yang bertentangan dengan tingkah laku
kreatif. Hasil kajian menunjukkan bahawa kebebasan bersuara boleh dilihat
sebagai sifat personaliti penting dalam mengenal pasti pemupukan potensi kreatif
dan penyelesaian masalah dalam kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun
kajian ini mengukur kreativiti kanak-kanak prasekolah berdasarkan TCT-DP.
Jadual 5 merujuk kepada rumusan kajian lepas berhubungan Kreativiti dan guru.
166

