Page 170 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 170
JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
JILID 6/2021
Kajian Kreativiti dengan Guru
Guru memainkan peranan yang penting sebagai ‘gatekeepers’ dalam domain
kreativiti, emosi, motivasi, kreativiti dan produktiviti pelajar di bilik darjah
(Laura Czarniecki, 2009; Sharma, 2011; Zeynep, 2019). Kreativiti individu boleh
dihasilkan melalui pertembungan antara pemboleh ubah kognitif, emosi,
persekitaran dan motivasi. Faktor persekitaran yang mempengaruhi kreativiti
kanak-kanak di dalam kelas prasekolah sebahagian besarnya bergantung kepada
konsepsi dan penyampaian guru dalam pendidikan kreativiti (Chien & Hui,
2010). Guru boleh menggalakkan kreativiti melalui amalan pengajaran seperti
bertanya soalan terbuka, toleransi kekaburan, menjadi model pemikiran dan
tingkah laku kreatif, menggalakkan eksperimen dan ketabahan serta menghargai
kanak-kanak yang memberikan jawapan yang tidak diduga (Al Thani, 2010).
Kajian Apak & Taat (2019), mendapati bahawa terdapat hubungan positif yang
sederhana antara tingkah laku pemupukan kreativiti dengan pengurusan bilik
darjah abad ke-21 guru yang membuktikan bahawa guru melaksanakan tingkah
laku pemupukan kreativiti seiring dengan amalan pengurusan bilik darjah abad
ke-21.
Kreativiti juga boleh ditingkatkan dengan cara mengawal dan menyokong pelajar
untuk mengambil risiko secara berstruktur dan kebebasan. Selain itu, guru juga
perlu membawa pendekatan bermain ke dalam bilik darjah, menggunakan masa
secara fleksibel, mengikut kadar pelajar, membina hubungan yang baik dengan
pelajar, saling menghormati, menjadi model sikap kreatif, fleksibiliti dan dialog;
memberi peluang pelajar bekerjasama dengan rakan-rakan dan memberikan
ganjaran terhadap idea pelajar yang baharu, unik dan kreatif (Beghetto, 2007;
Jindal-Snape et al., 2013). Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian literatur
terdapat banyak halangan untuk guru berkreativiti. Halangan pertama adalah
guru kurang berupaya untuk membezakan antara pelajar yang kreatif dan kurang
kreatif kerana guru prasekolah kurang pengetahuan mengenai sifat kreativiti dan
bagaimana cara mengajar untuk meningkatkan kreativiti dalam bilik darjah
(Dababneh et al., 2010). Kedua, guru kurang mampu mengenal pasti tahap
kreativiti pelajar kerana mempunyai bebanan kerja yang berat dan kekurangan
masa untuk menjalankan aktiviti kreatif selalu (Beghetto, 2013; Norsita et al.,
2015). Ketiga, adalah amalan pengajaran guru yang defensif seperti guru
mengawal dan menetapkan setiap aktiviti murid atau mereka belajar topik yang
kompleks tetapi diajar dengan cara yang terlalu ringkas (Fisher, 2013). Kreativiti
kanak-kanak juga terhalang sekiranya guru memberi sekatan seperti menetapkan
tema dalam sesuatu tugasan kanak-kanak (Rofidah et.al., 2019).
Seterusnya, sikap guru juga menjadi penghalang kreativiti seperti tidak suka
pelajar yang kreatif sebaliknya lebih suka kepada pelajar yang kurang kreatif
seperti patuh dan menerima kuasa guru tanpa soalan kerana guru menganggap
pelajar kreatif menyukarkan mereka untuk mengajar dan mengganggu
ketenteraman serta disiplin di dalam kelas (Gralewski & Karwowski, 2012).
165

