Page 4 - BP Final 24122020 to Timbalan
P. 4
KATA ALU-ALUAN
PENGARAH BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH HARIAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala
kerana dengan izin-Nya saya dapat hadir dalam majlis penutupan Program e-
Pertandingan Inovasi Pembelajaran Bahasa (INO-B) Sekolah Rendah Peringkat
Kebangsaan 2020 pada hari ini.
‘Pemikiran Kreatif Penggerak Pembelajaran Bahasa Berinovatif’. Tema yang
dipilih ini melambangkan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia selaras dengan
usaha kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan sistem
penyampaian pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah dewasa ini
terutamanya di sekolah rendah. Saya menyifatkan Program e-Pertandingan Inovasi
Pembelajaran Bahasa ini bertujuan untuk menyemarakkan usaha dan budaya inovasi
dalam kalangan warga sekolah ke arah kecemerlangan dan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Pertandingan ini sangat relevan dalam menjayakan
agenda inovasi negara selain wadah untuk memartabatkan inovasi di negara ini
khususnya yang melibatkan warga sekolah. Pertandingan seumpama ini mampu
memantapkan budaya inovasi pembelajaran bahasa dalam kalangan warga sekolah
rendah pelbagai aliran di seluruh negara. Syabas dan tahniah saya kepada Institut
Pendidikan Guru Kampus Ipoh yang telah menjadi penganjur program ini.
Inovasi pada hari ini telah menjadi penanda aras baru global dan sudah pasti
menuntut kepada keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan
bermanfaat tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada keseronokan
dan minat murid untuk belajar di sekolah. Pertandingan ini memanifestasikan tahap
daya fikir, kreativiti dan inovasi yang tinggi. Saya amat berharap kebolehan dan
keupayaan ini dapat terus dibudayakan dan menjadi satu norma dalam menjalankan
tugas harian. Besarlah harapan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melihat lebih
banyak lagi penglibatan sekolah-sekolah harian dari pelbagai aliran untuk turut serta
dalam pertandingan seperti ini. Sebagai makluman bilangan sekolah harian kerajaan
berdasarkan data EMIS 31 Julai 2020, kita mempunyai 7,780 buah sekolah harian
peringkat sekolah rendah. Justeru jika semua warga sekolah menunjukkan komitmen
terhadap e-pertandingan ini, kita akan dapat melihat lebih banyak produk inovasi
dihasilkan.

