Page 97 - e-Buletin FSK Edisi November Bil. 01 / 2021
P. 97
komentar
KESIHATAN MENTAL DARI PERSPEKTIF ISLAM
Oleh:
Dr. Abdul Latif Abdul Razak
Kehidupan adalah ujian. Manusia diuji dengan pelbagai cara dari seringan-ringannya hinggalah seberat-
beratnya. Kegagalan menguruskan ujian menyebabkan ramai terdedah kepada masalah kesihatan
mental. Menurut laporan khas Astro Awani bertarikh 17 Oktober 2016, Kajian Beban Penyakit oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan masalah kemurungan yang menjadi antara punca
penyakit mental akan naik ke tangga pertama selepas penyakit jantung di seluruh dunia menjelang 2030.
Di Malaysia, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan 29.2% rakyat Malaysia iaitu
hampir 9 juta berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Ini merupakan satu penemuan yang sewajarnya
dipandang serius kerana ini bermakna satu dari empat rakyat Malaysia mengalami atau menghidapi
masalah mental. Ini cerita tahun 2015 yang lalu di mana kehidupan tidak seteruk sekarang. Dengan
merebaknya wabak penyakit berjangkit Covid-19, kehidupan sudah tidak menjadi setenang dan seindah
dahulu. Berita kehilangan pekerjaan, kes bunuh diri, kematian sudah menjadi kebiasaan. Maka lebih
ramailah yang akan menghadapi masalah mental.
Hakikatnya, sejak dahulu, hinggalah sekarang, malah selagi kita hidup, kita akan diuji. Isu paling
utama, bukanlah ujian, tetapi bagaimana kita menanggapi ujian tersebut. Ini amat berkait dengan Akal.
Sebab itu, Islam meletakkan kedudukan Akal pada tahap tertinggi yang dengannya membezakan manusia
dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Kejadian yang berlaku, kaitannya dengan akal dan apa yang
kita akan rasa, boleh disimpulkan dengan formula 3K, iaitu Kejadian, Kepercayaan (belief) dan Keputusan.
Apa yang berlaku (Kejadian) akan dinilai oleh akal (Kepercayaan) dan kemudiannya akan menghasilkan
natijah (Keputusan). Contohnya, seseorang yang sakit, lalu melihat sakit itu sebagai negatif dan
menghinakan, maka kehidupannya juga akan menjadi negatif. Berbeza dengan seseorang yang sakit, lalu
melihat sakit itu secara positif, iaitu sebagai teguran Allah untuk dia Kembali kepadaNya, serta sakit itu
sebagai penghapus dosa, maka kehidupannya akan terus positif.
Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah Kejadian bukan berkadar langsung dengan Keputusan.
Sesuatu musibah itu akan menjadi negatif atau positif bergantung kepada Kepercayaan. Secara
umumnya, berdasarkan teori, kejadian (stimulus) akan menatijahkan tindakan (response). Ini sangat
benar dalam konteks haiwan yang tidak berakal tetapi sangat salah dan tidak sepatutnya bagi manusia
yang berakal. Seseorang yang marah dan apabila ditanya kenapa, lalu dijawabnya, “sifulan yang
menyebabkan saya marah!” adalah berada di peringkat asas seekor haiwan yang bertindak berdasarkan
prinsip Ransangan-Tindakan (stimulus-response). Sepatutnya, sebagai manusia, kita diberikan akal untuk
berfikir dan merenung dan bukannya dengan bertindak balas secara spontan. Kita perlu bertanya
misalnya,”Perlukah aku marah, untuk apa dan bagaimana cara yang terbaik untuk menzahirkan
kemarahan tersebut?”
Ketika Rasulullah SAW bersama sahabatnya Abu Bakar RA bersembunyi dari tentera Kafir Quraish
yang ingin membunuhnya di Gua Thur dalam perjalanan Hijrah, Baginda SAW kekal tenang, sedangkan
Abu Bakar RA penuh dengan kerisauan. Kenapa ransangan (stimulus) yang sama tetapi tindakan
(response) dan perasaan (emotion) berbeza? Ini adalah kerana kepercayaan (belief) yang berbeza. Ini di
sebut sebagai prinsip dalam-ke-luar (inside-out) dan bukannya luar-ke-dalam (outside-in). Ia bermaksud
apa yang kita percaya dan fikirkan, yang itulah kan menentukan perasaan dan tindakan luaran kita.
Kepercayaan menentukan persepsi, persepsi menentukan emosi, dan emosi menentukan tindakan atau
aksi.
Atas dasar inilah, Islam amat menekankan tentang Iman yang menjadi teras kepada kepercayaan.
Diantaranya ialah beriman dengan Allah, dengan yang ghayb dan beriman dengan Qada dan Qadar Allah.
72

