Page 1063 - e Prosiding Serai 2021
P. 1063
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
Rosli et. al. (2020) telah menjelaskan bahasa berbudaya yang digunakan oleh tokoh agama
terkenal di Malaysia. Sampel kajian ialah Dato' Ustaz Haji Badli Shah bin Haji Alauddin.
Instrumen kajian terdiri daripada rakaman video Dato' Ustaz Haji Badli Shah bin Haji Alauddin.
Data diambil daripada siri ceramah yang dikendalikan oleh tokoh tersebut yang dimuat naik
ke Youtube. Tempoh kajian selama empat bulan bermula pada bulan Julai 2019 dan berakhir
pada bulan Oktober 2019. Berdasarkan dapatan kajian, sampel kajian menggunakan bahasa
berbudaya dalam siri ceramah beliau. Antara bahasa berbudaya yang digunakan meliputi
unsur-unsur stilistik seperti bidalan, perumpamaan, pepatah atau dengan istilah stilistik barat,
bahasa yang dibumbui metafora, personifikasi, anafora, rima, asonansi, aliterasi dan yang
lain.
Rosli et. al. (2021) telah menjelaskan konsep bahasa berbudaya dalam bahasa Melayu. Hal
ini disebabkan banyak pihak yang kurang menyedari keperluan penggunaan bahasa
berbudaya dalam bahasa Melayu. Suntikan bahasa berbudaya dalam bahasa Melayu
sebenarnya menjadikan penggunaan bahasa Melayu lebih indah, bermakna dan tepat sesuai
dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa tinggi,
bahasa supra dan bahasa estetik. Dalam penulisan ini juga, ada dijelaskan perkaitan antara
bahasa dan budaya agar pembaca dapat menghubungkaitkannya dengan mudah. Unsur
stilistik, bahasa akliah, bahasa ilmu, bahasa supra dan bahasa estetik sebagai unsur utama
dalam bahasa budaya dijelaskan dalam penulisan ini beserta dengan contoh-contohnya.
METODOLOGI KAJIAN
Reka Bentuk Kajian
Kajian ini dilaksanakan menggunakan reka bentuk penyelidikan kualitatif. Kajian ini
menggunakan kaedah analisis kandungan teks yang melibatkan penganalisisan data secara
kualitatif.
Sampel Kajian
Peserta kajian dipilih menggunakan teknik persampelan bertujuan. Tokoh agama terkenal
yang terpilih ialah Dato' Ustaz Haji Badli Shah bin Haji Alauddin yang mewakili bidang agama.
Beliau kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian
Pengurusan Masjid dan Surau di Jabatan Agama Islam Pahang.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 1045

