Page 363 - e Prosiding Serai 2021
P. 363
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
Instrumen Kajian
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini menggunakan soal selidik jawapan terpilih yang
juga dikenali dengan soal selidik berstruktur atau soal selidik tertutup (Mohd Majid, 2005).
Responden dikehendaki memilih jawapan berdasarkan skala Likert lima aras persetujuan iaitu
sangat setuju, setuju, tidak pasti, tidak setuju, dan sangat tidak setuju. Menurut Sugiyono
(2013), skala Likert digunakan untuk mengukur sikap, pendapat dan persepsi seseorang atau
sekelompok orang tentang fenomena sosial. Selain itu, borang soal selidik yang digunakan
mengandungi empat bahagian iaitu Bahagian A, B, C dan D seperti Jadual 1 berikut.
Jadual 1. Bahagian soal selidik
Bahagian Konstruk
A Maklumat Demografi
B Pengetahuan Tentang Tulisan Khat
C Kemahiran Menulis Khat
D Kesediaan Mengajar Khat dalam Mata Pelajaran Bahasa
Melayu
Kesahan dan Kebolehpercayaan
Bagi mendapatkan kesahan dan kebolehpercayaan kajian, satu kajian rintis telah dijalankan
di IPG Kampus Bahasa Melayu di Kuala Lumpur dan IPG Kampus Pendidikan Islam di
Selangor. Menurut Cooper dan Schindler (2011), bilangan responden yang sesuai dalam
kajian rintis adalah antara 25 hingga 100 orang. Oleh itu, 30 orang guru pelatih opsyen Bahasa
Melayu Ambilan Jun 2016 telah diambil dalam kajian rintis ini. Perisian Statistical Package for
the Sosial Science (SPSS) versi 22.0 telah digunakan bagi mendapatkan nilai Alpha
Cronbach. Hasil kajian rintis dijalankan, didapati nilai kebolehpercayaan item adalah 0.92 iaitu
amat baik (Lim, 2007).
Prosedur Pengumpulan Data
Setelah mendapatkan kesahan instrumen, borang soal selidik diedar secara atas talian
kepada responden-responden yang terlibat iaitu guru-guru pelatih opsyen Bahasa Melayu
Ambilan Jun 2016 dengan menggunakan Google Forms. Menurut Noraini (2010), kaedah ini
dipilih kerana peluang untuk mendapatkan semula soal selidik yang lengkap diisi adalah
tinggi. Masa yang diperuntukkan untuk memperoleh kembali maklum balas daripada soal
selidik pula adalah selama dua minggu.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 345

