Page 42 - e Prosiding Serai 2021
P. 42
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA AYAT MAJMUK KETERANGAN
MENGGUNAKAN TEKNIK WATAK DALAM KALANGAN MURID TAHUN EMPAT
1
Lim Li Fang dan Muhammad Irfan Nyia Abdullah 1
1 Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail
limlifang17-1039@epembelajaran.edu.my
ABSTRAK
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2018), kemahiran menulis merujuk keupayaan
murid menulis perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan
dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Melalui pengalaman
berpraktikum selama tiga bulan di Sekolah Kebangsaan Batu Rakit (SeBaRa) Kuala Nerus,
Terengganu, didapati bahawa sebilangan murid tahun empat tidak mampu untuk
mengembangkan ayat tunggal menjadi ayat majmuk kerana mereka tidak tahu akan struktur
binaan asas ayat majmuk, terutamanya ayat majmuk keterangan. Oleh itu, kajian tindakan ini
dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran membina ayat majmuk keterangan
menggunakan teknik WATAK dalam kalangan murid tahun empat. Teknik WATAK
merupakan akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf pertama beberapa kata kunci
yang penting dalam konstituen ayat majmuk keterangan, iaitu W-Watak, A-Aktiviti, T-Tempat,
A-Alat dan K-Keterangan. Pada masa yang sama, teknik WATAK diperkenalkan oleh pengkaji
menerusi aplikasi Microsoft PowerPoint dan Jadual Binaan Ayat. Kajian tindakan ini
melibatkan lima orang murid tahun empat yang terdiri daripada dua orang murid perempuan
dan tiga orang murid lelaki sebagai peserta kajian. Pengkaji menggunakan tiga kaedah
pengumpulan data sepanjang melaksanakan kajian tindakan ini, yakni kaedah pemerhatian,
temu bual dan ujian bertulis. Dalam konteks ini, instrumen kajian yang digunakan untuk
mengumpul data kajian meliputi senarai semak pemerhatian, borang temu bual, praujian serta
pascaujian. Sehubungan dengan itu, segala dapatan kajian dianalisis secara kualitatif.
Berdasarkan dapatan kajian, dibuktikan bahawa teknik WATAK berjaya meningkatkan
kemahiran membina ayat majmuk keterangan dalam kalangan murid tahun empat.
Implikasinya, murid tahun empat tidak akan tercicir daripada penguasaan kemahiran menulis
khususnya pada Bahagian A Penulisan Bahasa Melayu.
Kata kunci: ayat majmuk keterangan, teknik WATAK, PowerPoint, Jadual Binaan Ayat.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 24

