Page 461 - e Prosiding Serai 2021
P. 461
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
PENGENALAN
Umum diketahui bahawa kemahiran membaca bermula pada tahap yang paling rendah iaitu
mengenal, mengecam dan menyebut huruf. Kemudian diteruskan dengan tahap yang lebih
tinggi iaitu membunyikan suku kata, membatangkan suku kata seterusnya membaca
perkataan dan ayat. Kemahiran membaca bukan sekadar membantu murid-murid berjaya
membaca tetapi juga membantu meningkatkan proses perkembangan mental, psikologikal
dan sosial murid dengan lebih baik.
Sehubungan dengan itu, kajian tindakan yang dilakukan ini bertujuan untuk
memperbaiki amalan pembelajaran murid yang berfokuskan kepada kemahiran membaca
dari aspek membunyikan huruf dan suku kata. Untuk itu, dalam kajian ini, pengkaji
menggunakan pendekatan belajar melalui kaedah bunyi huruf dengan menggunakan aplikasi
Android ABC SuKa yang merupakan suatu inisiatif penyelesaian masalah membaca. Reka
bentuk aplikasi ini menerapkan elemen audio, grafik, video dan permainan dan diharapkan ia
dapat menarik minat murid untuk menjalani proses kajian dalam usaha meningkatkan
kemahiran membaca suku kata KV + KVK.
Kesimpulannya, kajian tindakan yang dilakukan oleh pengkaji ini adalah salah satu
usaha murni sebagai seorang pendidik dalam membantu murid yang mengalami masalah
membaca suku kata KV + KVK. Kajian ini sangat penting agar murid tersebut mendapat asas
kemahiran membaca yang kukuh kerana apabila seseorang murid sudah pandai membaca,
dia pasti dapat mempelajari bidang ilmu atau kemahiran-kemahiran yang lebih kompleks dan
mencabar.
SOROTAN LITERATUR
Pada sesi pengajaran Standard Pembelajaran 2.2.1 iaitu membaca, memahami, dan
mengecam idea utama dan idea sampingan di kelas 3 Dinamik, pengkaji menyedari bahawa
terdapat beberapa orang murid mengalami kesukaran membaca. Semasa sesi PdPc,
pengkaji telah menggunakan kaedah pembacaan mekanis untuk mengajar kemahiran ini.
DSKP Bahasa Melayu semakan 2017 menyatakan bahawa bacaan mekanis ini didefinisikan
sebagai bacaan kuat yang mementingkan sebutan huruf dan bunyi dengan betul, membaca
mengikut intonasi, nada dan tekanan yang betul. Oleh itu, bahan bacaan yang digunakan
dalam bacaan mekanis terdiri daripada perkara yang mudah difahami dan tidak
membebankan fikiran.
Semasa aktiviti PdPc berlaku di dalam kelas, murid yang dipilih secara rawak diminta
untuk membaca petikan dalam buku teks secara mekanis. Hal ini bertujuan untuk mengenal
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 443

