Page 556 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 556
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
SOROTAN LITERATUR
Kemahiran mendengar bertujuan untuk memahami bahasa pertuturan. Kemahiran
mendengar adalah kemahiran yang penting, wujud dalam kebanyakan aktiviti kehidupan kita
(Junio, 2012). Antara sumber mendengar kita mungkin datangnya daripada pengumuman
oleh petugas di perhentian bas, pengumuman mengenai keadaan cuaca di televisyen,
pengumuman pertukaran jadual penerbangan di lapangan terbang dan muzik yang dimainkan
melalui radio atau pita rakaman (Lindsay & Knight, 2006 dalam Junio 2012; Mustafa &
Yahaya, 2013). Mendengar juga dikatakan sebagai satu proses yang kompleks kerana
mempunyai hubungan semulajadi antara pskologikal dan sosial. Bueno, Madrid dan McLaren
(2006, dalam Junio 2012) menjelaskan bahawa, mendengar adalah suatu fenomena psikologi
yang berlaku pada tahap kognitif dalam minda kita. Mendengar juga bertindak sebagai suatu
fenomena sosial yang berkembang secara saling bertindak antara individu dengan
persekitaran mereka. Mendengar boleh dianggap sebagai satu proses yang kompleks yang
perlu difahami oleh diri sendiri dan seterusnya membuat penilaian sebelum mengintegrasikan
maklumat tersebut dengan aspek-aspek fonologi kemahiran bertutur.
Kebelakangan ini semakin ramai ahli akademik membincangkan isu berkaitan
kemahiran mendengar (Jafre, Abidin, Ong, & Kim, 2011; & Sejdiu, 2017). Ahli akademik juga
berterusan meneroka kepentingan mendengar khususnya dalam pemerolehan bahasa dan
interaksi sosial dalam kalangan murid sekolah. Mereka merumuskan bahawa kemahiran
mendengar merupakan satu kemahiran yang tidak boleh diketepikan sama sekali dalam
komuniti manusia daripada zaman dahulu hinggalah ke era moden ini (Soureshjani, 2012).
Apabila seseorang berkomunikasi dengan orang lain, mereka akan berbual dan mendengar,
menulis dan membaca. Jika seseorang itu mengalami masalah dalam menguasai empat
kemahiran ini atau salah satu daripadanya, mereka akan menghadapi masalah berkaitan
kemahiran dalam konteks pembelajaran bahasa. Kemahiran mendengar juga merupakan
salah satu daripada komponen pembelajaran bahasa bersama dengan kemahiran-kemahiran
yang lain seperti kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis (Nik Mohd
Rahimi, Zamri, & Kamarulzaman, 2008).
Namun demikian, kemahiran mendengar tidak begitu diberi penekanan dalam aktiviti
pembelajaran sehingga murid tidak menyedari kepentingan kemahiran tersebut kepada
mereka. Seterusnya murid yang mampu mendengar dengan teliti dan dapat memberi tindak
balas dalam pelbagai situasi yang melibatkan aktiviti pengucapan seperti cerita, arahan,
perbualan, soal jawab, laporan berita, dan perbincangan dikategorikan sebagai mempunyai
kemahiran mendengar yang baik (Siti Nur Fahdziha, 2017). Berdasarkan dokumen Sukatan
pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu (KPM, 2011), kemahiran
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 535

