Page 124 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 124

Perubahan Paradigma Pemikiran Ke Arah Pendidikan Berkualiti

            5.5.3   Refleksi Proses Pengajaran dan Pembelajaran Secara Keseluruhan


            i.     Perubahan sikap pelajar
            Perubahan sikap pelajar hasil refleksi yang telah dilaksanakan ialah pelajar lebih aktif dalam
            pembelajaran berbanding sebelum ini. Mereka begitu meminati mata pelajaran Bahasa
            Melayu. Para pelajar lebih bersungguh-sungguh untuk menjawab soalan dan dilihat sangat
            seronok dengan aktiviti yang dilaksanakan. Pelajar juga dilihat lebih bersemangat untuk
            mempelajari  tatabahasa Bahasa Melayu dengan cara yang lebih mudah dan menarik.
            Perubahan sikap pelajar yang positif ini membuktikan perisian  "e-rapsimus" relevan dalam
            membantu para pelajar. Para pelajar sentiasa memberi respons yang positif  dan tidak
            sabar semasa sesi pembelajaran  dilaksanakan.  Perasaan saya pada waktu itu sangat
            teruja dan tidak sabar untuk memperbaik dan merancang aktiviti  berikutnya. Oleh itu, saya
            sentiasa memastikan agar setiap sesi PdP yang dilaksanakan dipelbagaikan  dengan idea
            yang lebih segar dan kreatif.


            ii     Perubahan pada pembelajaran pelajar
            Perubahan pada pelajar yang dapat dikenal pasti ialah pelajar dapat mengingati konsep
            dan kemahiran asas tatabahasa  dengan baik. Kemahiran mengingat pelajar juga semakin
            baik. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar semakin kurang  bertanyakan soalan yang
            berkaitan kemahiran asas. Hal ini secara tidak langsung mendorong pelajar meneroka isi
            pembelajaran dengan lebih mendalam. Selain itu, pelajar juga tidak menghadapi masalah
            menjawab soalan yang diberi kerana memiliki kemahiran asas tatabahasa yang mantap.
            Keyakinan diri yang dipupuk melalui aktiviti ini telah melahirkan pelajar yang lebih aktif dan
            tidak pasif berbanding sebelum pelaksanaan teknik "e-rapsimus".




            6.0    CADANGAN KAJIAN

            Melalui  pembelajaran  tatabahasa  berbantukan  perisian  ini, para pelajar  dilihat  lebih
            berminat dan dapat menguasai isi pelajaran dengan lebih baik. Hal ini dikatakan demikian
            kerana para pelajar lebih berminat dengan topik tatabahasa yang dipelajari. Secara tidak
            langsung, pelajar mempelajari tatabahasa Bahasa Melayu dengan cara yang lebih santai.
            Kesan yang  paling  baik ialah pelajar  berjaya  menjawab soalan  berkaitan  tatabahasa
            dengan ketepatan jawapan yang lebih baik dan pantas. Saya akan mengekalkan teknik
            pembelajaran  menggunakan  perisian  ini  untuk pengajaran saya pada  masa hadapan
            kerana perisian ini sangat mudah dan banyak memberi manfaat kepada  para pelajar.
            Antara cadangan yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan ialah:
            i.     Menambah baik kualiti nota dan grafik yang disediakan.
            ii.    Koleksi soalan yang lebih mantap.
            iii.   Mempelbagaikan elemen didik hibur yang diterapkan.
            iv.    Menyebar luas perisian  ini bagi membantu para pelajar  dalam menguasai
                   kemahiran tatabahasa.



                                                              Kementerian Pendidikan Malaysia  123
   119   120   121   122   123   124   125   126   127   128   129