Page 19 - PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
P. 19
PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
CABARAN UTAMA YANG DIHADAPI OLEH FELDA DALAM MEMERANGI RASUAH:
Kelemahan Pematuhan Dan Pemantuan
Amalan pematuhan kepada dasar dan kawalan dalaman di FELDA dilihat sebagai lemah dan tidak
konsisten. Terdapat juga elemen ketidakpatuhan dan salah laku yang mana pihak pengurusan FELDA
telah membuat keputusan yang bertentangan dengan SOP dan Pekeliling FELDA. Antara punca
kurangnya keberkesanan dalam proses pemantauan dan penguatkuasaan ini ialah disebabkan oleh
pelanggaran pematuhan kepada dasar, tatacara dan prosedur dalam operasi harian, tiada kajian dan
penilaian risiko terhadap sesuatu projek atau program dan pengauditan dalaman yang kurang efektif.
Wujud Ruang Dan Peluang Berlaku Jenayah Rasuah
Bagi membendung berlakunya rasuah, penggunaan teknologi perlu ditingkatkan oleh FELDA khususnya
dalam bidang kewangan, perolehan dan perkhidmatan. Penggunaan tunai bagi urusan bayaran perlu
dihapuskan kerana kaedah ini membuka ruang kepada berlakunya rasuah dan penyelewengan. FELDA
perlu mengkaji semula keupayaan sistem sedia ada bagi memastikan kelengkapan dan ketepatan
rekod perolehan, pembayaran dan transaksi berkenaan peneroka. Oleh itu, kawalan dalaman dan sistem
kerja berasaskan penggunaan teknologi moden penting untuk membendung rasuah di peringkat awal.
Memandangkan teknologi telah menjadi sebahagian daripada ekosistem pentadbiran, keupayaan
dan kemahiran perlu diperkukuhkan lagi untuk merebut peluang yang muncul daripada penggunaan
teknologi ini.
Persepsi Negatif di Kalangan Warga FELDA
Kepercayaan orang awam khususnya warga
FELDA banyak bergantung kepada ketelusan dan
kebertanggungjawaban dalam operasi FELDA.
Rasuah menghakis sokongan orang ramai justeru
membantutkan keupayaan dalaman FELDA untuk
memenuhi tugas utamanya dalam menyediakan
perkhidmatan dan pengurusan yang kondusif
dan berintegriti. Walaupun pengurusan FELDA
cuba melaksanakan tugas dengan sebaiknya,
kredibiliti pengurusan FELDA sering dipersoalkan
disebabkan persepsi negatif yang ditanamkan di
kalangan warga FELDA itu sendiri.
Hukuman Yang Kurang Tegas
Hukuman yang dikenakan kepada pesalah rasuah dan salah laku dilihat kurang tegas, dimana boleh
mendorong dan memotivasikan pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan kesalahan kerana
mereka sedar bahawa mereka mampu menikmati hasilnya setelah bebas dari hukuman. Mereka
juga beranggapan kelewatan dan kegagalan dalam mengambil tindakan mendorong pihak terbabit
melakukan kesalahan dengan berani.
FELDA ANTI-CORRUPTION PLAN (FACP) 2020–2024 7

