Page 299 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Cetakan Semula Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 299

[Perkara  150]      Perlembagaan  Persekutuan                   158

                (2a)  Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh
              Perkara  ini  termasuklah  kuasa  untuk  mengeluarkan  Proklamasi-
              Proklamasi yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau
              dalam hal-hal keadaan yang berlainan, sama ada suatu Proklamasi
              atau  Proklamasi-Proklamasi  telah  dikeluarkan  atau  tidak  oleh
              Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (1) dan Proklamasi atau
              Proklamasi-Proklamasi  itu sedang berkuat  kuasa.

                (2b)  jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat
              sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen
              sedang  bersidang  serentak, Yang  di-Pertuan Agong  berpuas  hati
              bahawa  ada  hal-hal  keadaan  tertentu  yang  menyebabkan  perlu
              baginya  mengambil  tindakan  serta-merta,  maka Yang  di-Pertuan
              Agong  boleh  memasyhurkan  apa-apa  ordinan  sebagaimana  yang
              didapatinya  perlu mengikut hal keadaan.


                (2c)  Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2b)
              hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana
              Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan
              sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga
              ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau
              sehingga  ordinan  itu  luput  di  bawah  Fasal  (7);  dan  kuasa Yang
              di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2b)
              boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya
              Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan
              tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti,
              atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam
              mana-mana satu  Majlis  Parlimen.

                (3)  Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan
              di  bawah  Fasal  (2b)  hendaklah  dibentangkan  di  hadapan  kedua-
              dua  Majlis  Parlimen  dan,  jika  tidak  terlebih  dahulu  dibatalkan,
              hendaklah  terhenti  berkuat  kuasa  jika  ketetapan  diluluskan  oleh
              kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu,
              tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya
              menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan
              kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi
              baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di
              bawah Fasal  (2b).

                (4)  Semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif
              Persekutuan  hendaklah,  walau  apa  pun  apa-apa  jua  dalam
              Perlembagaan ini, meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan
              sesuatu  Negeri  dan  pemberian  arahan  kepada  Kerajaan  sesuatu
              Negeri  atau  kepada  mana-mana  pegawai  atau  pihak  berkuasa
              Negeri itu.
   294   295   296   297   298   299   300   301   302   303   304