Page 267 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN CETAKAN SEMULA Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 267

[Perkara  139]      Perlembagaan  Persekutuan                   144

                (1a)  Bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah
              meliputi—
                    (a)  anggota perkhidmatan awam am Persekutuan yang diambil
                        kerja dalam sesuatu jabatan persekutuan di Negeri Sabah
                        atau Sarawak;

                    (b)  anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak
                        yang  dipinjamkan  kepada  perkhidmatan  awam  am
                        Persekutuan; dan

                    (c)  anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak
                        yang berkhidmat dalam jawatan persekutuan atau dalam
                        mana-mana jawatan yang dijadikan jawatan persekutuan
                        di  Negeri  itu  dan  yang  telah  membuat  pilihan  untuk
                        menjadi anggota perkhidmatan  awam  am  Persekutuan.

                (2)  Badan  Perundangan  mana-mana  Negeri,  selain  Melaka
              dan  Pulau  Pinang,  boleh  melalui  undang-undang  memperluas
              bidang  kuasa  Suruhanjaya  Perkhidmatan Awam  supaya  meliputi
              semua atau mana-mana orang dalam perkhidmatan awam Negeri
              itu,  tetapi  tiada  undang-undang  yang  sedemikian  boleh  berkuat
              kuasa  lebih  awal  daripada  dua  belas  bulan  dari  tarikh  undang-
              undang itu diluluskan; dan jika suatu Suruhanjaya Perkhidmatan
              Awam  Negeri  tidak  ada  ditubuhkan  dan  menjalankan  fungsinya
              pada bila-bila masa di mana-mana Negeri yang di dalamnya tiada
              undang-undang  sedemikian  berkuat  kuasa,  maka  bidang  kuasa
              Suruhanjaya  Perkhidmatan  Awam  itu  hendaklah,  jika  undang-
              undang persekutuan memperuntukkan sedemikian, meliputi semua
              anggota perkhidmatan  awam  Negeri  itu.


                (3)  Apa-apa peluasan bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan
              Awam  yang  dibuat  oleh  Badan  Perundangan  mana-mana  Negeri
              menurut  Fasal  (2)  boleh  dibatalkan  atau  diubahsuaikan  melalui
              suatu  undang-undang  yang  diluluskan  oleh  Badan  Perundangan
              Negeri itu.

                (4)  Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah terdiri daripada
              anggota yang berikut yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong
              menurut  budi  bicaranya  tetapi  selepas  menimbangkan  nasihat
              Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis raja-raja,
              iaitu,  seorang  pengerusi,  seorang  timbalan  pengerusi  dan  tidak
              kurang daripada empat orang anggota lain; tetapi bilangan anggota
              lain  itu  tidak  boleh,  sehingga  diperuntukkan  selainnya  melalui
              perintah oleh Yang  di-Pertuan Agong,  melebihi tiga  puluh.
   262   263   264   265   266   267   268   269   270   271   272