Page 161 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 161
ketepatan penggunaan bahasa dalam pembelajaran bahasa kedua (Nobuyoshi & Ellis, 1993).
Kemahiran berkomunikasi perlu “melibatkan murid memahami, memanipulasi, menghasilkan,
atau berinteraksi dalam bahasa yang dipelajari” (Nunan, 1989).
Justeru itu, pembelajaran BCSK sebagai bahasa kedua ini harus mementingkan konteks
sosial pembelajaran murid. Berdasarkan teori perolehan bahasa kedua Spolky (1988), konteks
sosial seseorang murid merupakan unsur yang amat penting untuk membantu murid menguasai
pembelajaran bahasa kedua. Konteks sosial merupakan konteks pembelajaran murid, sama ada
di sekolah, di rumah mahupun sekitar komuniti. Konteks sosial ini mempengaruhi perolehan
bahasa kedua murid dari dua aspek iaitu sikap murid terhadap penggunaan bahasa dan peluang
pembelajaran bahasa kedua (Spolky, 1988). Konteks sosial ini mempengaruhi pembentukan
sikap seseorang murid dalam kehidupan sehariannya. Sikap murid merujuk kepada ciri individu
murid yang meliputi keperibadian, umur, motivasi, keupayaan dan pengetahuan sedia ada pada
seseorang murid (Spolky, 1988). Peluang pembelajaran adalah peluang seseorang murid untuk
mempelajari bahasa kedua, sama ada secara formal ataupun tidak formal (Spolky, 1988).
Kedua-dua unsur ini penting dalam menentukan keberkesanan hasil pembelajaran bahasa kedua
(Spolky, 1988).
PERNYATAAN MASALAH
Di Malaysia, pembelajaran Bahasa Cina sebagai bahasa kedua di sekolah kebangsaan
telah bermula sejak tahun 1950-an lagi. Walau bagaimanapun, didapati pembelajaran bahasa
Cina sebagai bahasa kedua di Malaysia masih menghadapi pelbagai cabaran (Edge, Searle,
Chiu, Zhao, & Landay, 2011; Heryadi & Muliamin, 2016; Lan, Fang, Legault, & Li, 2015;
Siew Ming, Najihah, & Cheach, 2015; Tan & Lim, 2014). Permasalahan ini berkemungkinan
disebabkan kebanyakan murid yang mempelajari mata pelajaran BCSK di sekolah kebangsaan
bukan merupakan penutur jati bahasa Cina. Hal sedemikian sememangnya akan berlaku
memandangkan pada fasa permulaan pembelajaran bahasa kedua, kemahiran berkomunikasi
biasanya diberikan penekanan yang utama (Cummins, 1999; Rolstad, 2017) khususnya
terhadap murid yang berusia muda (Cummins, 1999; Rolstad, 2017).
Tinjauan kajian lepas telah menunjukkan bahawa kebanyakan kajian terhadap
perolehan Bahasa Cina sebagai bahasa kedua lebih memberikan penekanan kepada kaedah
pengajaran iaitu, dari aspek tenaga pengajar (Edge et al., 2011; Heryadi & Muliamin, 2016;
Hsiao, Indy, Lan, Kao, & Li, 2017; Lan et al., 2015; Opitz, Schneiders, Krick, & Mecklinger,
2014; Siew Ming et al., 2015; Tan & Lim, 2014). Kajian tempatan telah dijalankan untuk
melihat kepentingan murid dalam pembelajaran perbendaharaan kata (Hsiao et al., 2017; Lan
et al., 2015; Opitz et al., 2014) dan memfokuskan terhadap penggunaan teknologi sebagai bahan
bantu mengajar Bahasa Cina sebagai bahasa kedua (Edge et al., 2011; Heryadi & Muliamin,
2016; Siew Ming et al., 2015; Tan & Lim, 2014). Sehingga kini masih terlalu kurang kajian
yang menilai dari sudut pembelajaran murid, seperti faktor-faktor yang berkemungkinan
mempengaruhi pembelajaran kemahiran berbahasa Cina sebagai bahasa kedua (王希竹 & 彭
爽, 2017). Kajian seumpama ini amat penting untuk melihat faktor dalaman ataupun faktor
luaran yang mempengaruhi tahap penguasaan bahasa kedua murid (Spolky, 1988).
Selain itu, pelaksanaan DSKP KSSR (Semakan 2017) BCSK dilaksanakan selama dua
tahun dan masih tiada kajian dijalankan untuk meninjau keberkesanan pelaksanaan kurikulum
BCSK tersebut. Oleh yang demikian, wujudnya keperluan kajian terhadap pelaksanaan DSKP
KSSR (Semakan 2017) BCSK untuk menyelidik faktor-faktor yang mungkin mempengaruhi
kualiti pembelajaran bahasa kedua murid dan seterusnya mencadangkan strategi pembelajaran
yang berkesan.
152

