Page 44 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 44
bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka. Jaemjan, Wawta dan Rattiya (2015),
mendapati kaedah pembelajaran teradun bukan sahaja memberi faedah kepada peningkatan
kemahiran literasi tetapi juga membantu murid untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di
universiti dan persediaan mereka di alam pekerjaan.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan kaedah kuasi eksperimen dengan reka bentuk praujian-
pascaujian kumpulan kawalan tak setara (Campbell & Stanley, 1963). Rasional pemilihan ini
dibuat untuk menggantikan reka bentuk eksperimen sebenar apabila dalam proses pemilihan
responden kajian, pengagihan rawak tidak dapat dilakukan (Gall, Gall & Borg, 2007).
Kelebihan utama reka bentuk ini adalah keupayaannya menjalankan kajian dalam suasana
pendidikan yang sebenar. Namun, reka bentuk ini boleh dipengaruhi oleh ancaman pelbagai
pemboleh ubah luaran serta isu-isu kesahan dalaman (Gall et al. 2007). Dalam hal ini, Gay dan
Airasian (2003) menegaskan supaya ancaman-ancaman ini perlu dikenal pasti dan dikawal
sebaik-baiknya. Penyelidik bertindak mengawal pelbagai gangguan yang boleh memberi
ancaman kepada kesahan dalaman dan luaran ujian seperti faktor sejarah, kesan mortaliti, faktor
kematangan, pemilihan sekolah, instrumen kajian, regresi statistik dan pengujian. Sampel
terdiri daripada murid Tingkatan Empat Aliran Sastera yang mengambil subjek Ekonomi Asas
dalam peperiksaan SPM. Kumpulan eksperimen adalah murid dari tiga buah sekolah yang
berbeza iaitu 31 orang murid dari sekolah A, 38 orang murid dari sekolah B dan 31 orang murid
dari sekolah C telah menerima rawatan berdasarkan tiga model yang dinyatakan. Seramai 32
orang murid daripada Sekolah D dijadikan kumpulan kawalan dan menggunakan kaedah
konvensional. Jumlah keseluruhan adalah seramai 132 orang murid. Kumpulan murid ini
diberikan ujian sebanyak dua kali iaitu ujian pra dan ujian pos. Ujian pra diberikan sebelum
rawatan manakala ujian pos diberikan selepas tamat rawatan.
Jadual 1.1
Reka Bentuk Ujian Pra-Ujian Pasca Kumpulan Kawalan Tidak Setara
Kumpulan Ujian Pra SDLR Rawatan Ujian Pacsa SDLR
Kumpulan Station Rotation O1 X1 O2
Kumpulan Lab Rotation O1 X2 O2
Kumpulan Flipped O1 X3 O2
Classroom
Kumpulan Kv O1 X4 O2
Nota:
X1: Pembelajaran Teradun berasaskan Model Station Rotation (SR)
X2: Pembelajaran Teradun Berasaskan Model Lab Rotation (LR)
X3: Pembelajaran Teradun Berasaskan Model Flipped Classroom (FC)
X4: Pembelajaran Konvensional (Kv)
O1: Cerapan awal (Pra Kesediaan Pembelajaran Terarah Kendiri)
O2: Cerapan selepas (Pasca Kesediaan Pembelajaran Terarah Kendiri)
Empat guru dipilih berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas mengajar subjek ini. Melalui
sesi perbincangan dan respon daripada guru-guru kumpulan eksperimen, didapati bahawa
pendekatan pembelajaran teradun tidak diaplikasi dalam proses PdPc sebelum intervensi. Oleh
yang demikian, guru diberikan taklimat dan latihan berdasarkan manual latihan pengajaran
berasaskan pendekatan pembelajaran teradun yang dibina oleh penyelidik. Latihan selama tiga
minggu (dua jam seminggu) telah dijalankan di sekolah masing-masing dengan adanya
bimbingan dan sokongan daripada penyelaras ICT yang pakar dalam aplikasi Frog VLE.
35

