Page 45 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 45

Pendekatan kuantitatif menggunakan borang soal selidik digunakan untuk mendapatkan data
               primer daripada responden kajian. Instrumen untuk mengukur kesediaan pembelajaran terarah
               kendiri dibangunkan oleh Fisher, King dan Tague (2001) dengan mengadaptasi instrumen asal
               Self-Directed  Learning  Readiness  Scale  oleh  Guglielmino  (1977).  Instrumen  SDLR  terdiri
               daripada tiga dimensi utama iaitu Pengurusan Kendiri (Self-Management), Keinginan untuk
               Belajar (Desire for Learning) dan Kawalan Kendiri (Self-Control). Berdasarkan saranan Hair
               et al. (2010), penyelidik melakukan ujian statistik analisis faktor supaya item-item yang dikenal
               pasti mempunyai hubungan interkorelasi antara variabel kajian dan bersesuaian dengan sampel
               dalam  konteks  kajian  sebenar.  Penyelidik  telah  menggunakan  Exploratory  Factor
               Analysis (EFA)  dengan  memilih  kaedah  prinsipal  melalui  putaran  varimax.  Analisis  EFA
               dilakukan terhadap pemboleh ubah SDLR yang mempunyai 40 item sebelum kajian sebenar
               dilakukan. Hasil analisis menunjukkan bahawa 13 item terpaksa digugurkan daripada jumlah
               asal  40  item.  Maka,  dalam  kajian  sebenar  hanya  27  item  telah  digunakan  dengan  nilai
               kebolehpercayaan Alpha Cronbach 0.87.
                       Data  yang  diperoleh  daripada  instrumen  soal  selidik  dianalisis  melalui  program
               “Statistical Package for the Social Science” (SPSS) dengan menggunakan skala Likert 5 poin.
               Data kuantitatif dianalisis menggunakan dua jenis analisis utama iaitu statistik deskriptif dan
               statistik inferensi. Statistik deskriptif kajian melibatkan statistik frekuensi, peratus, skor min
               dan perubahan skor min responden khususnya yang berkaitan dengan jantina, bangsa dan gred
               PT3. Statistik inferensi  pula digunakan untuk menguji hipotesis-hipotesis kajian. Persoalan
               kajian memerlukan perbandingan min pembolehubah SDLR antara kumpulan eksperimen dan
               kumpulan  kawalan.  Ujian  Anova  digunakan  untuk  membuat  perbandingan  antara  empat
               kumpulan dan dilakukan pada peringkat sebelum intervensi. Analisis pra menunjukkan terdapat
               perbezaan min yang ketara. Dengan ini, ujian Ancova dilakukan bagi mengawal perbezaan
               SDLR murid dalam ujian pra dan perbandingan min dapat dilakukan dengan lebih seimbang.
               Ujian pra dan ujian pasca dijalankan bagi menjawab persoalan kajian yang sama.

                                                  DAPATAN KAJIAN

                       Keputusan ujian telah diperoleh dan memberi kesan terhadap pemboleh ubah kajian
               iaitu kesediaan pembelajaran terarah kendiri. Hasil dapatan yang diperoleh dapat menjawab
               persoalan-persoalan kajian.


               Hipotesis Kajian

               Ho1:     Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi kesediaan pembelajaran terarah
                       kendiri murid dalam tiga model kaedah pembelajaran teradun dan konvensional.

               Jadual 1.2 menjelaskan perbezaan jumlah min skor ujian pos SDLR dan ralat piawai bagi setiap
               kumpulan yang menjalani kaedah pembelajaran yang berbeza. Keputusan mendapati jumlah
               min skor ujian pos SDLR bagi murid yang menggunakan tiga model teradun adalah lebih tinggi
               daripada  jumlah  min  skor  ujian  pos  SDLR  bagi  murid  yang  menggunakan  kaedah
               konvensional.









                                                            36
   40   41   42   43   44   45   46   47   48   49   50