Page 50 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 50
persekitaran baru menyokong keputusan hasil kajian dan jelas terutamanya dalam model
Flipped Classroom. Keadaan ini berkemungkinan besar disebabkan oleh format Flipped
Classroom yang menggalakkan murid mengawal tingkah laku terhadap pembelajaran mereka
serta pengamalan disiplin diri yang tinggi. Gross, Pietri, Anderson, Moyano-Camihort dan
Graham (2015) menyatakan bahawa murid datang ke sekolah dalam keadaan bersedia
disebabkan persediaan yang telah dibuat di rumah membolehkan mereka melibatkan diri secara
aktif di bilik darjah. Murid dapat memanipulasi pembelajaran sendiri dengan menonton semula,
memutar balik dan mempercepatkan video atau nota sehingga mereka faham kandungannya.
Dengan cara sedemikian, Abeysekera dan Dawson (2015) menjelaskan bahawa kuasa
menentukan keperluan pelajaran menjadi tanggungjawab murid sendiri dan ini menjurus
meningkatkan kesediaan menjalankan pembelajaran secara kendiri. Roehl (2013) berpendapat
bahawa murid memanfaatkan waktu di kelas untuk menjalankan aktiviti berbentuk
penyelesaian masalah dan aktiviti hands on. Situasi ini memberi peluang kepada murid untuk
membuat refleksi dan mendapat maklum balas serta merta daripada guru. Ini membantu murid
menjadi lebih seimbang dan mampu memperkembangkan setiap gaya belajar seperti yang
disarankan dalam teori Kolb.
Pergerakan murid ke tiga stesen yang berlainan merupakan ciri pembelajaran dalam
model Station Rotation. Ia melibatkan bilik darjah untuk PdPc secara bersemuka, penggunaan
makmal komputer dan pembelajaran kolaboratif dalam kumpulan-kumpulan kecil di bilik
darjah. Aktiviti kolaborasi dalam kerja kumpulan, interaksi antara guru-murid, interaksi antara
murid-murid dan interaksi antara murid-kandungan subjek mengalakkan perkembangan proses
kognitif sosial (Vygotsky,1978). Pemberian sokongan dan bimbingan guru dan rakan sedarjah
atau lebih dikenali sebagai proses ‘scaffolding’ membantu murid mencapai had tahap
perkembangan kognitif yang lebih tinggi (Roblyer & Doering, 2013). Dapatan kajian juga selari
dengan OrtegaGil dan Arcos García (2011) yang melaporkan bahawa model Station Rotation
membenarkan guru menjalankan PdPc dengan lebih fleksibel. Aktiviti kolaboratif dalam
kumpulan-kumpulan kecil memberi peluang kepada guru untuk menjelaskan sesuatu konsep
dengan lebih berkesan terutamanya kepada murid yang lemah.
Hasil kajian mendapati model Lab Rotation juga berjaya meningkatkan kesediaan murid
mengarah pembelajaran sendiri. Sebahagian pembelajaran menggunakan makmal komputer
memberi peluang kepada murid untuk meneroka dan memahami isi pelajaran secara kendiri.
Penjelasan guru di dalam bilik darjah mengukuhkan lagi pemahaman mereka. Bimbingan guru
semasa melakukan tugasan atas talian serta pengajaran bersemuka di bilik darjah menjadikan
murid lebih faham. Dapatan ini selaras dengan hasil kajian Staker (2011) yang melaporkan
bahawa model Lab Rotation membantu mengukuhkan pemahaman murid, memenuhi
keperluan dan gaya pembelajaran serta membina semangat bermasyarakat dan komited dalam
melaksanakan tugasan yang diberikan.
CADANGAN KAJIAN LANJUTAN
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan maka dikemukakan beberapa cadangan untuk
kajian lanjutan seperti berikut:
Kajian ini dijalankan bagi melihat kesan kaedah teradun terhadap kesediaan
pembelajaran terarah kendiri. Adalah dicadangkan, kajian lanjutan diadakan bagi mengkaji
kesan kaedah teradun terhadap elemen-elemen lain dalam diri murid seperti motivasi, gaya
pembelajaran, autonomi, regulasi kendiri, efikasi kendiri dan sebagainya.
Kajian ini hanya dijalankan ke atas subjek Ekonomi Asas dan responden yang terlibat
terdiri daripada murid tingkatan empat sahaja. Oleh itu, hasil dapatan kajian tidak boleh
digeneralisasikan kepada subjek-subjek lain kerana perbezaan proses PdPc, kurikulum dan
sebagainya. Dengan ini, dicadangkan agar kajian selanjutnya dijalankan menggunakan variabel
41

