Page 126 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 126
dalam menguasai bidang kejuruteraan sains dan teknologi. Pelbagai kajian telah dijalankan yang
membuktikan STEM adalah sangat berkesan dalam meningkatkan minat pelajar terhadap Sains
dan Matematik, dan kejayaan dalam bidang pekerjaan berkaitan STEM (Mazlini, 2017).
Memupuk Pembudayaan STEM dari peringkat awal persekolahan
Secara amnya, pelaksanaan PdP STEM di prasekolah akan memupuk minat murid
terhadap mata pelajaran sains dan matematik di sekolah kelak. Murid tidak lagi merasakan sains
dan matematik sebagai suatu mata pelajaran yang sukar dan membebankan mereka (Mazlini,
2016). Terdapat persepsi dalam kalangan murid dan ibu bapa bahawa adalah sukar untuk lulus
cemerlang dalam mata pelajaran STEM berbanding mata pelajaran sastera (PPPM 2013-2025).
PdP STEM mampu memberi ruang dan peluang kepada murid untuk meminati, memperoleh dan
mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM seperti yang dinyatakan dalam
kurikulum (KPM, 2016). Dengan adanya pelaksanaan PdP STEM secara berterusan di prasekolah,
sedikit sebanyak dapat membantu pemupukan minat murid terhadap mata pelajaran STEM di
peringkat yang lebih tinggi. Ini selari dengan apa yang dihasratkan oleh PPPM 2013-2025 iaitu
meletakkan kepentingan STEM di peringkat asas bagi memastikan negara mempunyai bilangan
siswazah jurusan STEM mencukupi bagi memacu ekonomi negara.
KESIMPULAN
PdP STEM di prasekolah secara keseluruhannya mampu menjadi asas kepada
pembangunan modal insan yang merupakan pelaburan terpenting pembangunan negara yang
dipacu oleh STEM menjelang 2020. Cabaran pendidikan dalam kemahiran abad ke-21 ketika ini
adalah untuk menjadikan murid yang perlu dijana secara maju dan global supaya tidak ketinggalan
jauh dengan negara lain. Cabaran tersebut menggalakkan guru supaya meningkatkan kualiti dalam
pengajaran dan pembelajaran STEM bermula dari peringkat prasekolah ke peringkat yang lebih
tinggi. Guru merupakan agen terpenting dalam memupuk minat murid terhadap STEM di
prasekolah. Menurut Maulana, Helms-Lorenz, & van de Grift, (2015) dalam Titi Rahayu (2018),
guru mempunyai tanggungjawab yang besar bagi menjayakan pencapaian murid dalam bilik
darjah. Bagi memastikan tanggungjawab tersebut dicapai, guru perlu sentiasa bersedia
melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan seperti melakukan
penambahbaikan kaedah PdP, menguasai teknologi yang diperlukan, membina suasana yang
harmonis, serta membentuk hubungan antara guru dan murid secara mesra di sepanjang proses
pembelajaran (Syafrimen, 2010). Diharap melalui PdP STEM yang dilaksanakan di prasekolah
akan mengubah pendekatan yang berpusatkan guru dan tidak lagi menyekat peluang murid
berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif. Untuk memastikan kejayaannya guru perlu memiliki
keyakinan diri dan memerlukan sokongan dari semua pihak termasuk masyarakat yang prihatin
terhadap keperluan STEM dalam abad ke-21 ini.
116

